Paket minyak masak bersubsidi disyaki cuba diseludup keluar. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Paket minyak masak bersubsidi disyaki cuba diseludup keluar. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki warga asing termasuk seorang remaja kerana disyaki cuba menyeludup keluar 1,156 paket minyak masak bersubsidi, hari ini.

Kedua-kedua suspek berusia 30 dan 16 tahun itu ditahan kira-kira 0.5 batu nautika dari Kampung Bangau-Bangau, di sini, dalam Ops Pluto Timur pada 5.30 pagi.

Pengarah APMM Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pihaknya yang melakukan rondaan berjaya mengesan pergerakan tiga bot jongkong dalam keadaan mencurigakan

Menurutnya, ketika menghampiri lokasi, tiga lelaki dilihat sedang memindahkan barangan disyaki minyak masak bersubsidi daripada sebuah kelong ikan ke dalam tiga bot berkenaan.

Katanya, salah seorang suspek yang menyedari kehadiran anggota keselamatan bertindak terjun ke laut sebelum berenang ke arah daratan berdekatan dan melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kelong ikan dan bot itu menemukan 1,156 paket minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM2,900 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Tangkapan bersama barang rampasan termasuk tiga bot berserta enjin sangkut dibawa ke Pangkalan Maritim Semporna untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 1:57 PM