GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Satu keluarga di Taman Desa Jasmin, di sini, berdepan detik cemas apabila diacukan parang oleh penyamun yang memecah masuk rumah mereka dan melarikan barang kemas serta wang tunai dengan nilai keseluruhan mencecah RM30,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suspek dikatakan mengacu parang kepada seorang mangsa wanita meminta supaya menyerahkan barang kemas.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima aduan melalui Balai Polis Nilai mengenai kejadian daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan rumahnya disamun.

"Hasil siasatan awal mendapati, empat lelaki tempatan masuk ke rumah mangsa dengan memanjat pagar seterusnya masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci.

"Suspek dikatakan mengacukan parang kepada isteri pengadu yang sedang menggosok baju di sebuah bilik serta ahli keluarga lain sebelum mereka ditempatkan di sebuah bilik.

"Suspek juga dikatakan meminta isteri pengadu menyerahkan barang kemas yang dipakai isterinya sebelum wanita itu menyerahkannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya menggeledah rumah dan mengambil wang tunai dan melarikan diri dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Waja.

"Pengadu mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM30,000 akibat kejadian ini," katanya.

Abdul Malik berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BDJD) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan dengan senjata.

"Polis sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit dalam kes ini.

"Sekiranya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, dinasihatkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 7:50 PM