EMPAT suspek sedang diburu. FOTO Ihsan Polis
EMPAT suspek sedang diburu. FOTO Ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis Kontinjen Negeri Sembilan kini sedang memburu empat individu bagi membantu siasatan berhubung satu sindiket pelaburan tidak wujud yang berjaya ditumpaskan sebelum ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, sebelum ini pihaknya sudah menahan 11 individu dan sembilan daripada mereka kini masih di bawah siasatan.

Katanya, pada 13 November tahun lalu, polis menjalankan beberapa serbuan bersabit kes penipuan pelaburan di Nilai dan 11 individu ditahan.

"Hasil siasatan yang dijalankan, kami mengenalpasti sebanyak 51 kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian berjumlah RM950,981.

"Seramai sembilan ahli sindiket yang ditahan kini direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan masih dalam tindakan serta siasatan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, JSJK Negeri Sembilan meminta kerjasama orang ramai bagi memberikan maklumat berhubung empat individu yang diperlukan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"Pertama seorang lelaki dikenali sebagai Shawn Lee Kim Boon berusia 33 tahun, Seow Ka Khan, 34; Muhammad Shalihin Hussein, 35 dan seorang wanita bernama Seow Siew Yan, 34.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat jenayah komersial Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Nilai, Sarjan Addiean Gidius di talian 019-8973218 atau 06-7904222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:59 PM