ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan. FOTO Ihsan Polis
ANTARA barang yang dirampas dalam serbuan. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Polis menahan enam individu termasuk dua wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan samun dalam serbuan di Senawang, Negeri Sembilan dan Putra Perdana, Puchong, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki yang memaklumkan rumahnya di Bukit Puchong, di sini, dimasuki dua lelaki jam 7.29 pagi pada 4 Jun lalu.

"Suspek menggunakan pisau bagi menyamun mangsa dan keluarganya sebelum melarikan kereta Honda City yang diparkir di hadapan rumah serta beberapa sejumlah barangan berharga milik mangsa.

"Dalam kejadian itu, suspek memakai topeng muka turut mengikat mangsa yang tinggal bersama iaitu isteri, ibu dan dua anak pengadu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut dipanggil bagi menjalankan siasatan di lokasi kejadian yang menemui calitan peluh yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

"Anggaran nilai kerugian dalam kejadian itu dianggarkan kira-kira RM60,000," katanya.

Susulan laporan itu, pihaknya menahan empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 27 hingga 32 tahun dalam serbuan di Senawang dan Putra Perdana, semalam.

"Kami turut merampas beberapa barangan peribadi yang digunakan untuk kegiatan samun iaitu dua pisau, pakaian milik suspek, pemutar skru serta sepasang sarung tangan.

"Antara barang milik mangsa ditemui semula adalah barangan peribadi ,barang kemas, telefon bimbit, segugus kunci rumah dan sebuah kereta Honda City yang dilarikan oleh suspek.

"Turut dirampas adalah sebuah kereta Honda EK yang dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, modus operandi suspek memakai topeng muka memasuki rumah sasaran bersenjatakan pisau sebelum mengikat mangsa dan ahli keluarga menggunakan kabel telefon dan tali pinggang.

"Suspek kemudian akan melarikan barangan peribadi dan barangan berharga serta melarikan kenderaan milik mangsa.

"Hasil soal siasat dilakukan suspek mengaku terbabit dengan kes itu dengan semua suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397/379A Kanun Keseksaan.

"Kita akan menjalankan soal siasat lanjut terhadap suspek kerana kami percaya mereka juga terbabit beberapa kes di sekitar daerah ini dan kawasan lain," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian samun berkumpulan di daerah itu diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor G Dinesh di talian 011-33094457 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 10:56 PM