Noor Dellhan Yahaya
Noor Dellhan Yahaya
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pemilik bangunan tinggi serta premis lain diminta supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan di premis masing-masing.

Mengulas insiden pencerobohan puncak bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, keperluan menaiktaraf rakaman kamera litar tertutup (CCTV) adalah penting bagi membantu siasatan polis sekiranya berlaku kes jenayah di premis berkaitan.

"Naik taraf kemudahan CCTV di premis ini kerana ia mampu membantu siasatan polis dalam menyelesaikan kes jenayah yang dilaporkan," katanya dihubungi.

Pada masa sama, mengulas berkaitan kes dron terlanggar Menara Merdeka 118 sebelum terhempas, beliau berkata, menerbangkan dron di mana-mana kawasan terbuka adalah dilarang.

Ini kerana, katanya, ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

"Individu yang menerbangkan dron tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) boleh dikenakan tindakan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, selepas kecoh dua kejadian pencerobohan Menara Merdeka 118, timbul pula insiden pelancong dari China menerbangkan dron sebelum ia terlanggar menara berkenaan.

Pelancong China terbabit menerbangkan dron untuk mengambil gambar dan video menara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 4:50 PM