Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pembinaan bangunan ikon global, Merdeka 118 setinggi 678.9 meter, di sini,yang mencatatkan rekod bangunan tertinggi di Malaysia, kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara disifatkan sebagai satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan negara.

Malah lebih membanggakan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemasangan puncak menara itu dapat disempurnakan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kewujudan mercu tanda bangunan ikonik itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

"Majlis hari ini begitu penting dalam sejarah negara.

"Dengan penyempurnaan puncak menara hari ini, ia meletakkan Merdeka 118, kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan menjadi menara tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.

"Inspirasi menamakan bangunan ini sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penyempurnaan pemasangan puncak menara bangunan Merdeka 118, di sini, hari ini.

Untuk rekod, puncak menara atau 'spire' Merdeka 118 berukuran 160 meter dan berat 1,015 tan yang diperbuat daripada keluli dan panel aluminium dengan tempoh pemasangan mengambil masa tiga bulan.

Hadir sama dalam majlis, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad PNB Tun Arifin Zakaria serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn.

Perdana Menteri berkata, reka bentuk menara yang tersergam teguh mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika mengangkat tangan melaungkan 'Merdeka.'

"Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.

"Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan," katanya.

Ismail Sabri berkata, pembinaan Merdeka 118 juga bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint berkenaan akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur, sekali gus melengkapi kawasan lain yang sedang rancakmembangun seperti KLCC dan KL Sentral.

Katanya, pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

"Malah, Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

"Permohonan Geran Merdeka 118 ini sudah pun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana Keluarga Malaysia

boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan.

"Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosio-ekonomi," katanya.

Beliau berkata, pembinaan bangunan ikonik itu juga adalah cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

ISMAIL Sabri (tengah) sambil diperhatikan oleh Arifin (kiri) dan Ahmad Zulqarnain melakukan gimik penyempurnaan puncak Menara Merdeka 118. FOTO Aswadi Alias
ISMAIL Sabri (tengah) sambil diperhatikan oleh Arifin (kiri) dan Ahmad Zulqarnain melakukan gimik penyempurnaan puncak Menara Merdeka 118. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 12:24 PM