MOHD Shawaluddin berharap paramotor boleh dijadikan sebagai aset sokongan bagi memantapkan kerja operasi menyelamat. GAMBAR IHSAN PEMBACA.
MOHD Shawaluddin berharap paramotor boleh dijadikan sebagai aset sokongan bagi memantapkan kerja operasi menyelamat. GAMBAR IHSAN PEMBACA.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Sukan paramotor diibaratkan hobi 'kayangan' yang mana penggiatnya perlu membelanjakan tidak kurang RM30,000 bagi mendapatkan paramotor berspesifikasi baik.

Sebelum ini, penggiat sukan udara itu memilih hobi untuk berekreasi atau menyertai kejohanan berkaitan bagi mengharumkan nama negara.

Pada masa sama, kecekapan pengendali paramotor turut ditagih dalam membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan penyelamat.

Presiden Kelab Sukan Paramotor JOMFLY Mohd Alias Ikhsan berkata, tidak ramai tahu peranan komuniti sukan itu yang turut terbabit sebagai sukarelawan dalam operasi yang memerlukan khidmat tinjauan dari udara.

"Sejak empat tahun lalu, komuniti sukan paramotor dengan ahlinya datang dari seluruh Malaysia turut terbabit dalam misi SAR sebagai sukarelawan untuk melakukan pengesanan melalui udara.

"Ia satu pengiktirafan buat komuniti kami yang selama ini dipandang sebagai komuniti kayangan kerana sanggup berhabis untuk hobi terbang di udara," katanya.

Menurut Mohd Alias, dalam keadaan tertentu, peranan pasukan paramotor sangat diperlukan terutama dalam mengesan mangsa sesat atau lemas.

"Dengan menyertakan komuniti kami sebagai sukarelawan atau kumpulan sokongan dalam misi SAR, ia memberi peluang lebih baik dalam kerja meninjau dan mengesan mangsa.

"Dalam pencarian parameter sederhana (pesisir pantai atau hutan litupan ketebalan sederhana), penggunaan paramotor juga lebih ideal.

"Kami juga mampu membantu untuk melakukan pengesanan bagi kes SAR dalam jarak kurang 100 kilometer. Ia juga boleh terbang rendah iaitu pada paras kebenaran 152 meter hingga 600 meter," katanya.

Menurut Mohd Alias, pelbagai manfaat juga diperoleh komuniti paramotor berkenaan hasil kerjasama selama ini ini dengan pasukan penyelamat.

"Kami dapat menambah satu lagi kemahiran iaitu kaedah apabila berdepan situasi kecemasan.

"Kami juga belajar mengenal-pasti tanda-tanda kemalangan seperti bot karam, cara menjejak termasuk kesan ditinggalkan mangsa dan kaedah membawa juga menurunkan barang bantuan kepada mangsa.

"Sebagai anggota masyarakat, kita sendiri perlu faham anggota keselamatan mempunyai kapasiti atau had tertentu daripada segi kekuatan anggota dan sebagainya.

"Dalam situasi tertentu, terutama membabitkan bencana atau fenomena besar yang berlaku serentak, rakyat perlu berkongsi tugas mengikut kapasiti masing-masing," katanya.

Mohd Alias berkata, pihaknya berharap supaya kerjasama strategik dapat diperluaskan sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, dia sendiri pernah terbabit dalam misi SAR mangsa hilang di laut tidak lama dulu.

"Saya terbabit mencari mangsa yang disyaki lemas di laut itu selama tiga hari berturut-turut dengan melakukan pengesanan di udara.

"Saya ambil masa dua jam untuk pergi ke lokasi pencarian sebelum melakukan rondaan dan pulang sebelum mayat ditemui pada hari ketiga operasi," katanya.

Menurut Mohd Alias, pihaknya juga gembira dapat bekerjasama dengan pasukan keselamatan kerana tahap profesionalisme seperti mengkoordinasi pergerakan setiap pihak yang mengambil bahagian dan pelbagai lagi.

"Kami mudah faham dengan maklumat yang mereka sampaikan dan pelbagai lagi. Ia menyebabkan sukarelawan seperti kami rasa khidmat serta peranan kami diperlukan juga dihargai," katanya.

Kos SAR guna paramotor jimat

Penggunaan paramotor dalam tugasan mencari dan menyelamat (SAR) ada banyak kelebihan seperti kosnya lebih menjimatkan berbanding helikopter, kata Timbalan Kanan Presiden Persekutuan Sukan Udara Malaysia (Paramotor) Mohamad Fadzli Abd Aziz.

"Dengan bekalan minyak penuh, paramotor mampu terbang selama 45 minit sehingga dua jam.

"Penggunaan pesawat motor ringan ini lebih jimat jika hendak dibandingkan dengan sewaan atau kos operasi helikopter yang dianggarkan mencecah RM15,000 sehari," katanya.

Mohamad Fadzli berkata, penggunaan paramotor juga boleh ditagih jika ada keperluan mendesak seperti berlaku kes besar atau banyak secara serentak.

Kata Mohamad Fadzli, paramotor juga sesuai untuk dijadikan antara aset dalam operasi SAR.

"Komuniti paramotor sudah terbabit dalam membantu pasukan penyelamat terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak 2017.

"Ia bermula dengan rakan komuniti di Pantai Timur iaitu Kelantan yang mana khidmat mereka ditagih pada musim banjir.

"Ia biasanya bagi mengesan mangsa lemas dan menghantar barangan keperluan terutama makanan di lokasi tidak dapat diakses menggunakan bot atau jalan darat.

"Khidmat itu turut diperluaskan apabila JBPM juga mula menghantar anggota untuk mempelajari kaedah pengendalian paramotor untuk kegunaan dalam operasi," katanya.

Tambah beliau, pembabitan komuniti sukan itu dalam SAR adalah satu peralihan penting dan ia patut diraikan.

"Saya terbabit dalam sukan paramotor ini atas dasar hobi dan kini, saya gunakan kemahiran mengendalikannya untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Menurut Mohamad Fadzli, pihaknya juga tidak pernah mengharapkan balasan atas usaha yang mereka jalankan.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang operasi SAR, pihaknya diberikan bantuan bahan api untuk menerbangkan paramotor dalam usaha mengesan mangsa.

"Lebih mudah menggunakan paramotor untuk melakukan tinjauan malah ia juga boleh menjimatkan masa serta tenaga anggota penyelamat," katanya.

Menurut Mohamad Fadzli, peluang mencari mangsa juga dikatakan lebih baik berbanding menggunakan helikopter yang sering berdepan isu 'downwash' iaitu tekanan terlalu tinggi berpunca daripada bilah helikopter berkenaan.

"Operasi SAR yang tidak boleh saya lupakan berlaku pada tahun lalu iaitu ketika membantu mengesan bot karam.

"Saya cukup terkesan apabila melihat mangsa yang lemas, termasuk kanak-kanak.

"Misi lain ialah terbabit mengesan anggota keselamatan yang hilang ketika operasi," katanya.

JBPM miliki lapan pengendali mahir

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini memiliki lapan anggota yang mampu mengendalikan paramotor untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Penolong Kanan Penguasa Bomba JBPM Johor Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata, penggunaan paramotor mampu memantap dan memperkemaskan lagi operasi SAR oleh JBPM.

Setakat ini, kata beliau, kewujudan unit paramotor dalam pasukan JBPM hanyalah atas inisiatif negeri masing-masing.

"Untuk JBPM Johor, secara rasminya kami bekerjasama dengan Kelab Southern Paramotor pada Jun 2020 yang mana mereka membantu melatih pasukan kami mengendalikannya.

"Kami mendapat sokongan Penolong Kanan Pesuruhjaya JBPM yang juga Pengarah Bahagian Udara Pusat Nazili Mahmood.

"Keupayaan untuk mengoperasikan paramotor di setiap negeri turut meningkat dan memperkemaskan lagi gerak kerja anggota ketika operasi. Ia juga menyokong aset sedia ada seperti unit dron dan helikopter," katanya.

Menurut beliau, sejak dua tahun kebelakangan ini, banyak operasi dijalankan menggunakan paramotor seperti kes lemas membabitkan bot atau kapal karam selain orang sesat.

"Setiap kali pencarian, kami menggunakan kaedah dua tempat duduk iaitu juruterbang menerbangkan paramotor manakala pembantu juruterbang mengesan atau mengunci koordinat kawasan pencarian.

"Kaedah operasi SAR ini juga memberi capaian tinjauan lebih meluas," katanya.

Mohd Shawaluddin berkata, beliau melihat pelaksanaan operasi SAR menerusi paramotor sebagai langkah penting dalam memantapkan gerak kerja pasukan penyelamat itu.

Kata beliau, penggunaan paramotor mampu memberi kelebihan kepada pasukan penyelamat kerana ia memiliki banyak kelebihan.

"Pengalaman saya sendiri yang mengetuai pasukan elit bomba atau lebih dikenali sebagai Multi Skill Team (MUST) bagi Johor, saya melihat penggunaan paramotor lebih efisyen apabila membabitkan operasi SAR di kawasan hutan atau pesisir pantai.

"Penggunaan helikopter lebih sesuai ketika mangsa ditemui atau selepas koordinat dikenal-pasti. Ini mempercepatkan lagi tugas menyelamat mangsa, terutama membabitkan kes besar atau kemalangan serius," katanya.

Menurut Mohd Shawaluddin, gerak kerja menggunakan paramotor dalam operasi SAR lebih efisien kerana kemampuannya terbang pada ketinggian rendah.

"Kaedah menggunakan paramotor lebih dikenali sebagai lower & slow merujuk kepada kemampuan capaian pesawat motor ringan ini untuk terbang lebih rendah dan terbang secara perlahan melewati kawasan dikenal-pasti sebagai lokasi keberadaan mangsa. Ini satu kelebihan kepada pasukan.

"Paramotor sangat memudahkan kerja meninjau dan menanda atau 'mengunci' secara spesifik lokasi mangsa dengan lebih baik. Dalam situasi tertentu kemungkinan terdapat peluang untuk pasukan bantuan berkomunikasi dan menghantar bantuan pertama kepada mangsa seperti makanan," katanya.

Mohd Shawaluddin juga berharap supaya pihak berkaitan dapat mempertimbangkan paramotor sebagai aset tambahan kepada pasukan keselamatan terutama JBPM yang banyak terbabit dalam operasi SAR.

Menurut Mohd Shawaluddin, sepanjang 2022, pasukan paramotornya terbabit dalam lapan kes besar operasi SAR, dan banyak lagi kes-kes kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 9:27 AM