GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) awal tahun ini menimbulkan keresahan terhadap orang ramai yang memiliki lebih satu pinjaman.

Dengan kenaikan kos sara hidup rakyat semakin terbeban apabila penganalisis ekonomi meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR sekitar 3.25 ke 3.5 peratus bagi mengawal inflasi.

Pekerja swasta, Anna Maria Abdullah, 37 berkata, kenaikan OPR dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini amat membebankannya dan paling ketara pembiayaan rumah dan Amanah Sahan Bumiputera (ASB).

"Macam saya sendiri mempunyai pembiayaan rumah, kereta, peribadi dan ASB, sudah pasti terbeban dengan kenaikan OPR.

"Walaupun masih mempunyai kerja dan gaji, tetapi dengan kos sara hidup tinggi termasuk yuran taska anak juga naik kami 'struggle' (hidup dengan susah payah) lebih-lebih lagi hidup di bandar.

"Duit gaji habis untuk membayar pinjaman dan perbelanjaan anak-anak dan tiada lebihan pun untuk menyimpan," luahnya.

Anna berkata, memang mustahil untuk menghentikan kenaikan OPR ketika ini, namun diharap kerajaan boleh mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terutama untuk M40 supaya dapat menampung perbelanjaan kos sara hidup lain.

Bagi peniaga, Emy Farina Malek, 38, dia juga terkesan dengan kenaikan empat kali OPR tahun lalu secara peribadi dan perniagaan.

Katanya, disebabkan kenaikan OPR, dia terpaksa mengurangkan perbelanjaan harian bagi menampung ansuran bayaran kepada bank.

"Sekarang memang berbelanja untuk barangan keperluan saja, malah perniagaan pakaian kanak-kanak saya juga terjejas kerana ramai keluarga tidak lagi berbelanja seperti sebelum ini.

"Pakaian yang bukan barangan keperluan menjadi senarai utama yang akan dipotong oleh kebanyakan ibu bapa daripada berbelanja pada setiap bulan.

"Walaupun kenaikan OPR ini penting dari segi ekonomi, tetapi kerajaan perlu memikirkan inisiatif lain yang boleh membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barang," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, kakitangan awam, Ahmad Daud, 36 turut melahirkan keresahan apabila mengetahui OPR akan naik lagi.

"Kenaikan OPR memang memberi kesan bukan saja kepada saya, malah kepada hampir semua yang mempunyai tanggungan ramai.

"Saya sendiri terpaksa mengambil langkah berhemah kerana mempunyai pembiayaan rumah, kereta, peribadi dan kad kredit.

"Kami bukan sahaja masih lagi mempunyai hutang yang tinggi dan tertunggak, malah kenaikan ini akan meningkatkan lagi kos sara hidup dalam era endemik Covid-19.

"Isu kenaikan harga barang dan keperluan asas yang masih tidak selesai dan terus meningkat menyukarkan lagi kehidupan di ibu kota.

"Justeru, kerajaan perpaduan yang baharu ini harus melihat perkara ini dan membantu rakyat yang sudah pun terbeban dengan hutang sedia ada dan sebarang peningkatan pembayaran akan menyukarkan lagi kehidupan rakyat yang mempunyai tanggungan ramai," katanya yang menjadi tulang belakang utama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 5:19 PM