KENAIKAN kadar OPR akan menjejas hampir segala ekosistem ekonomi negara.
KENAIKAN kadar OPR akan menjejas hampir segala ekosistem ekonomi negara.
Sri Ayu Kartika Amri

KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara tidak langsung akan menyebabkan kadar faedah untuk semua bentuk pinjaman akan diselaraskan mengikut kenaikan faedah terbabit, justeru individu harus mengelak membuat sebarang permohonan pinjaman baru pada masa ini.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin (gambar) berkata, kenaikan kadar OPR akan menjejas hampir segala ekosistem ekonomi daripada pembiayaan modal perniagaan sehingga ke pinjaman rumah peribadi sedia ada.

"Jadi ia akan mempunyai kesan terhadap perbelanjaan operasi perniagaan dan juga pendapatan boleh guna isi rumah.

"Dengan peningkatan perbelanjaan isi rumah akibat kenaikan OPR ini, berkemungkinan ramai tidak dapat mengurus kewangan isi rumah mereka dengan baik dan mungkin perlu berhutang untuk menyara hidup.

"Hutang baru ini akan meningkat selagi ekonomi tidak pulih dan tempoh untuk ekonomi kembali pulih bergantung kepada dasar yang dibuat kerajaan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kadar OPR juga akan menjadikan permohonan pinjaman baru lebih mahal berbanding sebelum kenaikan dan ini akan menjejas permohonan pinjaman.

Beliau berkata, kenaikan OPR akan menguncup pertumbuhan ekonomi dan mempunyai risiko tinggi untuk negara dilanda kegawatan ekonomi.

"Oleh sebab itu kita patut mengelak membuat sebarang permohonan pinjaman baru dan lebih baik untuk kita menjadual semula pinjaman bagi memastikan pembayaran bulanan pinjaman boleh diteruskan," katanya.

Ditanya adakah cara lain untuk individu mendapatkan pembiayaan seperti melalui koperasi atau Ar-Rahnu, Armin berkata, lazimnya pinjaman daripada koperasi dan Ar-Rahnu akan mengikut pelarasan OPR.

Menurutnya, sesetengah koperasi turut mempunyai kebergantungan kredit daripada bank dan mereka menyalurkan (pinjaman) kepada ahli dengan sedikit keuntungan di atas kos dana.

"Begitu jarang koperasi memberi pinjaman daripada simpanan koperasi dan jika ada simpanan, kadar faedah yang tinggi akan menjadi opportunity cost untuk beri pinjaman dengan kadar faedah rendah.

"Dalam kata lain, lebih berfaedah untuk koperasi menyimpan dana dan mendapat faedah tinggi daripada bagi pinjaman kecuali kalau koperasi mengenakan caj faedah lebih tinggi.

"Konsep yang sama sebenarnya dengan Ar-Rahnu dan permohonan untuk pembiayaan lebih senang kalau institusi kewangan (bank dan bukan bank) kenakan kadar faedah yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Pergerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ), Prof Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, pinjaman konvensional berasaskan kadar faedah atau pun pembiayaan secara Islamic akan terkesan juga kerana kenaikan kadar OPR

Beliau berkata, hanya pembiayaan secara kadar tetap atau berasaskan ekuiti tidak terkesan.

"Pembiayaan secara Musharakah Mutanaqisah, iaitu cara ekuiti menurun satu cara terbaik boleh dilaksanakan koperasi.

"Pandangan saya bagi mereka yang ingin membuat pembiayaan sekarang, lebih baik tangguh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 7:10 AM