SUASANA perwakilan Umno pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad.
SUASANA perwakilan Umno pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad.
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hangat apabila perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan, jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau Mohd Shukri Shamsudin pada ucapannya sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden.

Usul itu kemudiannya disokong oleh perwakilan Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Usul yang dikemukakan itu mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan yang mana ada suara teriakan 'boo' dan ada juga yang bertepuk tangan di Dewan Merdeka WTCKL.

Selain Mohd Shukri, perwakilan Wanita Umno, Suziyana Mahayuddin turut mengemukakan cadangan usul tambahan sama untuk dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan dan usul itu turut disokong perwakilan Terengganu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Isham Jalil menafikan berlaku kekecohan dalam dewan hari ini susulan usul dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan.

"Tiada.. Mana ada (berlaku kekecohan). Umno setakat ini tiada kecoh main baling kerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 8:05 PM