Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah terbuka untuk dipertandingkan dengan individu yang berhasrat bertanding dua jawatan penting itu perlu mengumumkannya lebih awal.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil berkata, Umno bersifat terbuka meskipun ada usul supaya dua jawatan penting itu tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung Umno yang dijangka Mei nanti.

"Secara peribadi saya terbuka untuk jawatan berkenaan dipertandingkan. Ada beberapa pihak kata kita tak bagi bertanding, itu tidak betul. Ia bagi menimbulkan rasa marah dan tak puas hati.

"Ramai pihak menyatakan supaya jawatan itu tidak dipertandingkan dan tiada mencabar. Sayap-sayap parti memberi usul mencadangkan begini (tidak dipertandingkan) bagi mengelak huru-hara di masa kritikal ini.

"Sekiranya ada yang mahu masuk (bertanding) terpulang kepada mereka. Tapi umum awal-awal jangan berselindung di sebalik gerak konco-konco.

"Kita cuma ada tiga hingga empat bulan lagi, siapa nak bertanding umum sekarang," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (Pau 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

ISHAM Jalil pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022. FOTO Hazreen Mohamad
ISHAM Jalil pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Umno bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin supaya Umno membuka ruang jawatan presiden untuk dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu itu.

Khairy dalam Instagramnya menyatakan Ahmad Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan presiden parti.

Semalam, 140 Ketua Bahagian Umno seluruh negara menyatakan solidariti supaya jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung Umno.

Mewakili kumpulan itu, Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah dipetik berkata, ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 1:57 PM