Hazira Ahmad Zaidi


Rantau Panjang: Wartawan dan jurugambar Media Prima Berhad (Media Prima) di Kelantan yang terjejas banjir menerima sumbangan wang tunai dan juga barang keperluan asas di Program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Insani Misi Bantuan Banjir Kelantan.

Dalam kejadian banjir baru-baru, beberapa pengamal media turut menjadi mangsa apabila kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.8 meter selain ada yang terperangkap susulan jalan utama digenangi banjir.

Wartawan sambilan Berita Harian Syaherah Mustafa, 30, berkata, sumbangan yang diterima itu sedikit-sebanyak dapat meringankan beban dan kesedihan selepas dia sekeluarga diuji dengan banjir yang luar biasa.

"Alhamdulillah, dengan sumbangan yang diterima pada hari ini boleh digunakan untuk membeli keperluan asas selepas hampir seminggu rumah saya dilanda banjir.

"Saya ucapkan terima kasih kerana ada pihak yang peka dengan musibah di luar jangka yang berlaku.

"Rumah saya dinaiki air hampir mencecah bumbung, namun begitu demi tanggungjawab menyalurkan informasi kepada masyarakat, saya tetap cekalkan hati untuk meredah banjir mencari bahan berita," katanya.

ANGGOTA Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia memeriksa  sumbangan barangan keperluan asas untuk penerima mangsa banjir yang terjejas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia memeriksa sumbangan barangan keperluan asas untuk penerima mangsa banjir yang terjejas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dia berkata demikian selepas program itu di pekarangan Masjid Beijing di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ- MAIWP Abdul Hakim Amir Osman hadir menyerahkan sumbangan itu.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia Khairuzzaman Mohammad.

Sementara itu, jurukamera TV3 Nik Zaidi Nik Abd Bakar, 46, berkata, sumbangan yang diberikan itu adalah satu penghargaan buat dirinya selepas terpaksa berhadapan dengan musibah banjir hampir seminggu.

"Saya sendiri terperangkap selain rumah dimasuki air setinggi 0.4 meter menyebabkan saya tidak dapat keluar bekerja.

"Hanya perahu dan sampan menjadi pengangkutan utama untuk kami sekeluarga keluar dan ia tidak berpanjangan dan saya boleh kembali bekerja seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 2:17 PM