FAHMI (kanan) beramah mesra dengan penduduk kampung selepas menyampaikan  penyerahan  sumbangan bakul makanan kepada mangsa terkesan banjir ketika hadir di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
FAHMI (kanan) beramah mesra dengan penduduk kampung selepas menyampaikan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada mangsa terkesan banjir ketika hadir di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejumlah 100 menara telekomunikasi di Kelantan yang rosak akibat banjir sudah selesai dibaiki serta berfungsi seperti biasa, kata Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kerja baik pulih yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu juga antara lain membabitkan penambahbaikan kepada 127 menara telekomunikasi di Kelantan.

"Alhamdulillah semuanya sudah diperbaiki dan berfungsi. Ini adalah komitmen Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk memastikan setiap fasiliti telekomunikasi di kawasan yang terjejas banjir berfungsi dengan baik," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata MCMC juga sudah menambah baik sebuah menara telekomunikasi di Bendang Pak Yong, Tumpat menggunakan konsep Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN) manakala Tenaga Nasional Berhad meninggikan tapak sembilan substesen yang berdekatan bagi memastikan punca bekalan elektrik tidak terjejas akibat banjir.

"KKD akan terus memastikan kebajikan rakyat dibela tanpa diskriminasi termasuk di negeri yang diperintah oleh pembangkang… Selain menyantuni dan memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi, pendekatan rahmah ini diyakini mampu mengekalkan keharmonian dan perpaduan," katanya.

Beliau berkata KKD turut berkesempatan menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada 450 penerima membabitkan penduduk sekitar Tumpat, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kuala Krai serta pengamal media dan warga kementerian itu yang terkesan akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 11:51 PM