FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Apabila Ali Imran Mohd Noordin mendapati dirinya positif Covid-19 kali kedua pada Julai lalu, dia akur nasihat doktor untuk dirawat di hospital selama empat hari dan diberi ubat antivirus Covid-19 Paxlovid keluaran Pfizer.

Kali pertama beliau dijangkiti Covid-19 adalah pada Ogos 2021 sebelum sempat mengambil vaksinasi. Bapa kepada lima orang anak ini memberitahu, meskipun pada masa itu gejala dialaminya sederhana iaitu demam dan hidung berair, tetapi ia menginsafkan dirinya untuk lebih berhati-hati menjaga kesihatan diri.

"Januari lalu saya buat pemeriksaan perubatan penuh. Ketika itu baru saya tahu ada sesuatu yang tak kena dengan paru-paru saya. Ujian paru-paru saya tak memuaskan. Apabila saya dijangkiti kali kedua dan mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, doktor dapati ada parut di paru-paru saya," katanya..

Meskipun beliau sudah pulih, Ali Imran belum dapat mencapai tahap kesihatan sebelum diserang Covid-19. Sehingga kini, beliau berkata masih belum dapat membuat kerja berat terlalu lama dan perlu berhenti untuk berehat.

Bagi beliau yang baru mencapai usia 40 tahun ini, sudah tentu keadaan ini bagaikan igauan buruk. Ayahnya menghidapi masalah yang sama tetapi ayahnya berusia 65 tahun apabila doktor mengesahkan ada penyakit paru-paru. Beza usia dengan ayahnya lebih 20 tahun.

Seakan-akan jangkitan Covid-19 ini sudah 'menuakan' organ dalaman Ali Imran dan mengakibatkan beliau menghadapi pelbagai isu kesihatan. Beliau sebenarnya bukan bersendirian dalam hal ini.

Selepas hampir tiga tahun dunia dikejutkan penularan Covid-19, dilaporkan jutaan pesakit di banyak negara mengalami kesan buruk penyakit ini, seperti kesukaran bernafas, rasa keliru dan keletihan melampau.

Gejala yang boleh berlarutan ini turut dipanggil Long Covid, long-haul Covid, pasca-Covid atau sindrom pasca-acut Covid. Kesemua gejala ini menyukarkan penghidapnya untuk bekerja dan menjejaskan kedudukan kewangan mereka.

Impak ke atas ekonomi dan sistem penjagaan kesihatan juga boleh menjadi lebih buruk sekiranya negara yang terlibat termasuk Malaysia tidak melaksanakan dasar tindakan yang perlu sebagai kesiapsiagaan berhadapan dengan tenaga pekerja yang mungkin mudah jatuh sakit pada usia muda.

Dalam kes Ali Imran, beliau dengan berat hati melepaskan jawatannya dalam bidang kewartawanan beberapa bulan lalu untuk memberi tumpuan kepada pemulihan kesihatannya setelah tidak mendapat persetujuan majikan untuk kelonggaran dasar bekerja. Beliau juga terpaksa melupakan impiannya untuk meneruskan program Ijazah Sarjana yang diikutinya sebelum dijangkiti Covid-19.

"Memang saya berasa sedih apabila mendapat penyakit Covid-19 ini. Siapa yang mahu dijangkiti penyakit ini. Tambahan koronavirus ini memberi kesan teruk kepada kesihatan saya. Saya terpaksa berhenti kerja kerana mahu memastikan kesihatan saya pulih sepenuhnya, " katanya yang kini bekerja sebagai penulis bebas.

Ada satu istilah iaitu The Great Resignation untuk orang-orang seperti Ali Imran yang memutuskan untuk berhenti kerja atas sebab kesihatan. Laporan Brookings Institution (Ogos 2022), menganggarkan sehingga empat juta orang tidak lagi boleh bekerja akibat isu kesihatan pasca Covid. Sementara itu, laporan lain oleh US Department of Health and Human Services menganggarkan sehingga 23 juta orang menghadapi Long Covid.

Meskipun tidak ada perangkaan tepat mengenai fenomena ini, Jabatan Perangkaan Malaysia merekod jumlah penganggur tidak aktif - termasuk mereka yang mungkin akan mencari pekerjaan sekiranya mereka tidak sakit - meningkat sebanyak 2,300 kepada 110,700 untuk tempoh Oktober 2022, berbanding 108,400 pada bulan September 2022. Orang lain dalam kategori ini termasuk mereka yang tidak mencari kerja kerana percaya tidak ada pekerjaan atau mereka tidak berkelayakan dan juga yang sedang menunggu hasil permohonan pekerjaan.

Seperti Ali Imran, sejarah perubatan keluarga nampaknya menjadi kenyataan lebih awal daripada yang dijangkakan.

Pakar epidemiologi Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud tidak terperanjat apabila mendengar kes-kes berkenaan menyatakan, Covid-19 adalah salah satu daripada penyakit berjangkit yang mempunyai kesan jangkitan yang panjang dan yang mungkin juga memendekkan jangkaan hayat.

"Kerosakan akibat virus SARS-CoV2 tidak berakhir dengan penyingkiran virus berkenaan daripada badan. Hakikatnya, ia mencetuskan pelbagai keadaan selepas seseorang itu dikatakan pulih daripada jangkitan akut," katanya menerusi emel.

Menurut beliau, kajian menunjukkan bekas pesakit berkemungkinan mendapat dan mungkin meninggal dunia daripada penyakit yang tidak berjangkit (NCD), termasuk gangguan kardiovaskular dan diabetes, berbanding mereka yang tidak dijangkiti.

Kajian British Medical Journal baru-baru ini mengesan seramai 54,000 orang di UK dalam tempoh empat bulan setengah dan mendapati mereka yang dijangkiti Covid-19 dan mempunyai gejala sederhana berkemungkinan 10 kali ganda meninggal dunia akibat sebarang punca dalam tempoh empat bulan itu.

Kajian US Veteran Affairs yang dikeluarkan pada bulan Februari 2022 dan melibatkan 150,000 subjek, mendapati risiko strok meningkat sebanyak 52 peratus dalam tempoh setahun selepas jangkitan dan risiko kegagalan jantung meningkat 72 peratus. Kanak-kanak juga mungkin menghadapi risiko ini.

"Malahan kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada risiko ini dan ada bukti berlaku insiden gangguan yang jarang berlaku pasca jangkitan dalam kalangan kanak-kanak serta golongan remaja," tambah Dr Awang Bulgiba.

Sebagai persediaan kepada jangkaan beban yang mungkin ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan Malaysia, ekonomi dan kekayaan isi rumah, data diperlukan, dan lebih baik sekiranya ia lebih terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 7:00 AM