Papan tanda pengesanan kontak dipaparkan berhampiran bangunan pejabat di pusat kewangan Raffles Place, Singapura. - FOTO AFP
Papan tanda pengesanan kontak dipaparkan berhampiran bangunan pejabat di pusat kewangan Raffles Place, Singapura. - FOTO AFP
Agensi

Singapura: Singapura mencatatkan 367 kes pediatrik Covid-19 setakat ini, termasuk 172 kanak-kanak yang dijangkiti varian Delta.

Menteri Negara Kanan Kesihatan, Janil Puthucheary berkata, secara keseluruhannya, kanak-kanak bawah umur 12 tahun membentuk 0.6 peratus jumlah kes jangkitan tempatan di Singapura.

"Daripada jumlah kanak-kanak yang dijangkiti, 50 kes berusia sifar hingga satu tahun, 83 (dua hingga empat tahun), 76 (lima hingga enam tahun) dan 158 (tujuh hingga 12 tahun).

"Tiada seorang pun daripada mereka yang mengalami penyakit teruk sehingga memerlukan bantuan oksigen tambahan atau jagaan ICU," katanya ketika menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP), Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) dan Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) di Parlimen.

Menurutnya, kanak-kanak bawah usia 12 tahun buat masa ini tidak layak menerima vaksinasi Covid-19 di Singapura.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung pada sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian pada awal bulan ini berkata, vaksinasi untuk kanak-kanak itu boleh bermula seawal tahun depan selepas ujian selesai dijalankan dan kelulusan kawal selia diberikan.

Secara global, data menunjukkan "bilangan amat rendah" kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 mengalami sakit teruk berbanding orang dewasa, kata Dr Puthucheary.

Beliau menarik perhatian bahawa peratusan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 yang sakit tenat dan memerlukan jagaan rapi adalah 0.7 peratus di Israel, 0.3 peratus di Korea Selatan dan 0.6 peratus di Perancis.

"Terdapat bukti yang menunjukkan kanak-kanak dengan masalah perubatan sedia ada seperti keadaan metabolik neurologi genetik - iaitu sejenis isu perubatan kompleks - penyakit jantung sejak lahir, obesiti, kencing manis, semput, penyakit paru-paru kronik, penyakit sel sabit atau sistem imun lemah mungkin berisiko lebih tinggi mengalami sakit teruk akibat Covid-19," katanya seperti dilaporkan Berita Mediacorp.

Katanya, meskipun tiada penyakit teruk dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 di Singapura, beliau berkata, kerajaan sedar mengenai kenaikan bilangan kes dalam masyarakat dan lebih ramai kanak-kanak mungkin dijangkiti Covid-19 pada masa akan datang.

Beliau menyenaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengurangkan risiko anak-anak mereka dijangkiti seperti mengekalkan kebersihan diri yang baik, memastikan rumah mereka bersih, terus memakai pelitup muka sepanjang berada di luar, mengurangkan kegiatan sosial di mana pelitup ditanggalkan atau interaksi sosial yang berpanjangan.

Menurutnya, interaksi seumpama itu membentuk "sebahagian besar" jangkitan.

"Anggota keluarga juga seharusnya divaksin untuk mengurangkan risiko dijangkiti dan menjangkiti Covid-19 kepada anak.

"Kanak-kanak dengan masalah kurang daya tahan imun harus mengambil langkah-langkah tambahan seperti mengelakkan tempat sesak dan mengurangkan jumlah pengunjung dalam kalangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 5:56 PM