Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Percutian suami isteri ke Hatyai, Thailand bertukar pengalaman cemas selepas mereka terperangkap selama tiga hari di Rantau Panjang susulan jalan utama untuk keluar daripada kawasan terbabit digenangi air banjir.

Muhammad Fadhli Maimun, 28, dan isterinya, Quthren Nada Zulfikri, 26, bercuti ke negara jiran sejak Jumaat lalu sebelum pulang melalui pintu sempadan Rantau Panjang, kelmarin.

Dia yang tinggal di Kampung Guchil, Kuala Krai tidak menyangka air naik dengan cepat selain tidak biasa dengan kejadian banjir di Rantau Panjang.

"Sebaik tiba di pintu sempadan, kami cuba pulang ke Kuala Krai, namun tersekat berdekatan Sungai Tasek Garu, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang yang mula digenangi air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan biasa.

"Buntu dengan apa yang terjadi, kami mengambil keputusan untuk menyewa inap desa yang terletak di kawasan bebas banjir. Kami menunggu sehingga jalan selamat untuk dilalui.

"Bagaimanapun, banjir dilaporkan semakin teruk sebelum kami membuat keputusan meminta bantuan pihak bomba untuk keluar dari sini," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Katanya, dia dan isteri turut berterima kasih kepada wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) yang mempermudahkan urusan untuk meminta bantuan pihak bomba.

"Kami juga merindui anak, Iman Hajar Nafisa, 12 bulan yang ditinggalkan kepada ibu di kampung. Sepanjang terkandas, kami hanya berhubung melalui telefon dan panggilan video untuk bertanya khabar.

"Jika kami tahu daripada awal bah sebesar ini, sudah tentu kami membatalkan percutian ke Hatyai, tetapi tidak mengapa kerana kami anggap ini adalah ujian dan pengalaman," katanya.

Muhammad Fadhli (dua dari kanan) dan isterinya mendapatkan bantuan bomba selepas terperangkap selama tiga hari di Rantau Panjang akibat banjir. FOTO Syaherah Mustafa.
Muhammad Fadhli (dua dari kanan) dan isterinya mendapatkan bantuan bomba selepas terperangkap selama tiga hari di Rantau Panjang akibat banjir. FOTO Syaherah Mustafa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 4:07 PM