Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Penduduk di Rantau Panjang dinasihatkan bersiap sedia berpindah ke tempat selamat susulan paras air Sungai Golok, di sini, menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras Sungai Golok sehingga jam 9.30 malam ini ialah 9.35 meter sekali gus melepasi tahap bahaya iaitu sembilan meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, melihat kepada taburan hujan yang tinggi di kawasan hulu dan daerah Pasir Mas, paras sungai dijangka akan terus meningkat.

"Oleh itu, bagi penduduk di kawasan rendah diharap tidak leka dan segera mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat selamat. Tambahan pula, kita bimbang jika paras air banjir di setiap kawasan naik mendadak pada waktu tengah malam.

"Masyarakat setempat perlu membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dengan bertindak menyelamatkan diri lebih awal ke tempat selamat jika keadaan air dilihat semakin tinggi di kawasan masing-masing.

"Kami sekarang bersedia 24 jam untuk membantu mangsa yang memerlukan bantuan selain melakukan rondaan berkala terutama di penempatan yang sudah dilanda banjir," katanya ketika dihubungi, hari ini

Kawasan rendah di Rantau Panjang biasanya digenangi air apabila bacaan Sungai Golok melebihi lapan meter, manakala dijangka mula memasuki pekan Rantau Panjang pada kedalaman 10.15 sehingga 10.25 meter.

Shapawi berkata, pihaknya sudah sedia maklum akan keadaan yang berlaku di kawasan rendah seperti Kampung Putat Tujuh, Kampung Kusar, Kampung Padang Licin dan Kampung Bendang Perol, di sini.

"Selain penempatan ini, tumpuan turut diberikan kepada kawasan pinggiran Sungai Golok kerana bimbang berlaku limpahan susulan paras sungai yang semakin bertambah.

"Jika hujan masih turun tanpa henti berkemungkinan beberapa kawasan lain akan turut digenangi air," katanya.

LIMPAHAN Sungai Golok mengakibatkan kawasan kampung Tersang digenangi air. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LIMPAHAN Sungai Golok mengakibatkan kawasan kampung Tersang digenangi air. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 10:12 PM