Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (dua kanan) bersama Jenny Choi Tsi Jen (kiri) dan Muhammad Nazri Bin Abdullah (kanan) selepas sidang media sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan di Bilik Sidang Media, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN
Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (dua kanan) bersama Jenny Choi Tsi Jen (kiri) dan Muhammad Nazri Bin Abdullah (kanan) selepas sidang media sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan di Bilik Sidang Media, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebarang pindaan terhadap enakmen jenayah syariah di Perak perlu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata ia memandangkan pindaan terbabit menyentuh hal berkaitan hal ehwal agama Islam yang berada di bawah kuasa dan budi bicara Sultan negeri.

Katanya, sebelum cadangan pindaan itu dibawa ke DUN, perkenan Sultan Nazrin perlu sebelum perkara berhubungnya mula dibincangkan menerusi sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan kemudian dikemukakan dalam Persidangan MAIPk.

"Di peringkat DUN perkara itu akan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak sebelum ketentuan berhubungnya dibuat menerusi persidangan DUN.

"Kita ambil 'queue' (turutan) daripada situ berpandukan Undang-Undang Tubuh negeri. Jadi mesti dapat perkenan daripada Tuanku (Sultan Nazrin) dahulu sebelum jawatankuasa dalam MAIPk itu mula berbincang dan hasil perbincangan dikemukakan dalam persidangan MAIPk.

"Kalau nak mula perbincangan begitu iaitu di jawatankuasa MAIPk pun, ia mesti melalui perkenan Tuanku terlebih dahulu dan memang ini yang diperuntukkan menerusi perlembagaan (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan). Hasil daripada persidangan MAIPk itu baru akan dikemukakan ke DUN," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi sidang media bagi memberi pemakluman berkaitan Persidangan DUN iaitu Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha DUN Perak, Muhammad Nazri Abdullah dan Timbalan Speaker DUN Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Terdahulu, Mohammad Zahir berkata tiada sebarang usul tergempar yang dikemukakan oleh ahli-ahli Dewan menerusi Persidangan DUN Perak yang dijangka bersidang bermula 23 Februari hingga 29 Februari depan.

Katanya, Sultan Nazrin berkenan mencemar duli untuk berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi sempena persidangan itu dan akan menzahirkan Titah DiRaja.

Sementara itu dalam sidang media sama, Mohammad Zahir turut menyeru semua pihak mendoakan kesihatan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man (PN) yang baharu selesai menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 2:48 PM