Suliati Asri

Johor Bahru: Kecintaan dan komited dalam menghasilkan seni kraf, tiga pakar sulaman diiktiraf sebagai Adiguru Kraf dalam tekstil sulaman pada majlis perasmian Festival Kraf Johor (FKJ) 2022 di sini, baru-baru ini.

Mereka adalah pakar sulaman keringkam dari Sarawak, Salbiah Muhi, 71, yang mewarisi kemahiran menyulam keringkam daripada ibu dan neneknya.

Pembabitannya dalam bidang sulaman keringkam bermula pada 1968 ketika berusia 17 tahun.

Seorang lagi Adiguru Kraf yang diiktiraf adalah pakar sulaman pis, Crisna Mojupi, 53, dari Sabah yang mula mempelajari kraf itu seawal usia 11 tahun dan bergiat secara aktif dalam penghasilan produk pada tahun 2003 ketika berusia 34 tahun.

Adiguru ketiga adalah pakar Sulaman Linangkit Emis@Emmilianah Dahun, 46, juga dari Sabah yang mula mempelajari kraf sulaman linangkit daripada ibunya dan mula aktif sepenuhnya sebagai pengusaha kraf bermula tahun 2007 ketika berusia 31 tahun.

Pengiktirafan Adiguru Kraf mula dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada 1987 bertujuan memulihara serta memelihara kemahiran dan kesenian kraf tangan tempatan ke arah kelestarian industri kraf negara.

Adiguru Kraf juga adalah pengusaha kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf yang mempunyai identiti tempatan.

Sebagai Adiguru Kraf, mereka berperanan memelihara seni kraf negara melalui kesungguhan serta kesediaan untuk mewariskan ilmu dan kemahiran kepada generasi pelapis.

Pengiktirafan ini, sekali gus dapat mengukuhkan imej dan peranan tokoh sebagai pakar rujuk bagi memartabatkan seni kraf negara di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain menjadi pakar rujuk, Adiguru Kraf menyumbang sebagai tenaga pengajar dalam aktiviti berkaitan kemahiran dan teknikal, terlibat dalam aktiviti pendokumentasian dan pengkomersialan poduk kraf.

Produk Adiguru Kraf turut dipamer di Muzium Kraf Kuala Lumpur dan boleh layari www.mycraftmuseum.com untuk melihat maklumat berkaitan.

Anugerah istimewa itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Saraya Arbi.

Hadir sama Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia 'Ainu Sham Ramli.

FKJ 2022 adalah penganjuran kali kesembilan sejak mula dilaksanapada 2011 dan ia Signature Event yang dinantikan semua golongan masyarakat termasuklah usahawan, komuniti, penggiat dan pencinta kraf serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Berlangsung sehingga 26 Disember ini, FKJ 2022 kali ini disertai 217 usahawan kraf dari pelbagai bidang termasuk kraf tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf seluruh negara.

Memeriahkan lagi FKJ 2022, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan antaranya Jualan Kraf, Pameran Khas Ini Batik Malaysia, Pameran dan Jualan Produk Komuniti Kraf, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Adiguru Kraf 2022, Pameran MYCRAFTSHOPPE, Demonstrasi dan Interaktif Kraf Batik Malaysia, Wacana Kraf Batik Malaysia, Cita Rasa Malaysia Ku, Aktiviti Galakan Pengunjung dan Khidmat Iring.

Bagi pengunjung yang ingin membeli pelbagai hasil kraf, mereka turut menikmati baucar bernilai RM30 dengan setiap gandaan RM100 pembelian produk kraf tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 10:00 AM