PELAJAR membuat kraf logam sempena Hari Terbuka IKN di IKN Rawang.
PELAJAR membuat kraf logam sempena Hari Terbuka IKN di IKN Rawang.

Buat julung kalinya, Institut Kraf Negara (IKN) 'membuka pintu' kepada orang ramai dan kumpulan sasar yang berhasrat mengetahui lebih lanjut berkenaan program pengajian yang ditawarkan di institut berkenaan.

Pengarah Kanan IKN, Shamsul Azizi Samsudin berkata satu, dua tahun kebelakangan ini statistik menunjukkan pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menurun sehingga 73 peratus.

Menurutnya, penurunan 73 peratus itu adalah jumlah yang banyak dan merisaukan kerana ia turut membabitkan IPT yang sentiasa menjadi pilihan utama pelajar lepasan SPM.

"Jadi, kami adakan Hari Terbuka IKN ini untuk berkongsi dengan masyarakat sekitar dan kumpulan sasar mengenai IKN, kemudahan dan kehidupan (rutin) pelajar di sini.

"Selain itu, kami juga mahu memberitahu kepada semua bahawa IKN adalah institut pengajian yang mempunyai pendidikan berstruktur dan akademiknya sempurna," katanya pada sidang media Hari Terbuka IKN, di sini, baru-baru ini.

Program yang berlangsung sehari bermula 9 pagi hingga 5 petang itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) Khairul Firdaus Akbar Khan dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, 'Ainu Sham Ramli.

Sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), antara program yang ditawarkan adalah diploma, sijil dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berteraskan TVET serta akademik dalam bidang batik, tenunan, kayu, logam, seramik dan rotan yang masing-masing menawarkan pembelajaran secara berstruktur dan bersistematik dengan pecahan 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik.

Selain kampus utama di Rawang, IKN turut mempunyai kampus Satelit di Inanam dan Kota Belud, Sabah serta Kampus Satelit di Kuching dan Betong, Sarawak serta Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan, Pahang.

Shamsul Azizi berkata, program ditawarkan turut mendapat pengiktirafan Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan ditauliah sebagai Pusat Bertauliah oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, sekali gus menjadi penanda aras bahawa kualiti pengajian di IKN setara dengan IPT awam lain di Malaysia.

"Menariknya di IKN, kami menawarkan pengajian subsidi penuh dari kerajaan Malaysia dan pelajar diploma contohnya, hanya membayar RM450 sebagai yuran pendaftaran untuk pengajian penuh selama tiga tahun.

"IKN turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti kemudahan asrama, alatan dan bahan, bengkel, elaun sara hidup bulanan, makan dan minum serta insuran perlindungan berkelompok kepada pelajar.

"Pengajian di sini juga bekerjasama dengan pemain industri kraf, adiguru dan tokoh kraf negara, sama ada dalam bentuk bengkel, latihan industri atau pengajian secara bersama sebagai satu bentuk pendedahan kepada pelajar di dalam pengajian," katanya.

Sepanjang Hari Terbuka IKN berlangsung, antara aktiviti menarik diadakan termasuk Pameran Produk Pelajar 6 Jurusan di Dewan Cindai, lawatan ke -bengkel di Jurusan Seni Kraf, Taklimat Kerjaya Kraf, Jualan serta Demonstrasi Kraf dan Persembahan Seni Mempertahankan Diri oleh pelajar IKN.

Turut diadakan Permainan rakyat (congkak, dam haji dan batu seremban) serta Jualan Makanan (food truck).

Shamsul Azizi berharap dengan penganjuran Hari Terbuka IKN ini mampu memberikan gambaran dan pemahaman yang lebih jelas keistimewaan IKN terutama dalam penawaran program pengajian yang berbeza daripada institusi pengajian lain.

"Penubuhan IKN adalah satu langkah untuk melahirkan lebih ramai usahawan berpendidikan tinggi.

"Ia juga memelihara dan memulihara seni kraf tangan secara terancang bagi memastikan kesinambungan kemahiran seni kraftangan diwarisi dan dipelihara oleh generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 10:41 AM