AKTIVITI membaiki ban yang pecah bulan lalu giat dijalankan.
AKTIVITI membaiki ban yang pecah bulan lalu giat dijalankan.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Kami mahu penyelesaian jangka panjang. Sudah tak larat menghadap banjir."

Itu luahan penduduk sekitar Jalan Kilang Padi, Kampung Tok Adam, Kampung Baru Lembah Pantai dan Kampung Sungai Kajang di sini berhubung masalah ban pecah di kawasan itu yang menyebabkan kejadian banjir.

Penduduk mendakwa masalah itu berlaku akibat pembinaan ban sungai yang tidak kukuh selain perubahan cuaca dan fenomena air pasang besar.

Seorang penduduk, Roslie Aziz, 53, pula, banjir baru-baru ini berlaku terlalu cepat sehingga dia dan penduduk lain tidak bersedia dari awal untuk berdepan kejadian itu.

"Sudahlah banyak barang rosak ditenggelami air, rumah yang ada kesan tanah merah dan selut pula nak kena dicuci.

"Malah, surau di kampung kami juga tidak terlepas dari kejadian ini. Karpet yang serba baharu di ruang solat terpaksa dibuang akibat banjir.

"Siapa yang tidak bimbang dengan keadaan cuaca tidak menentu, ditambah pula fenomena air pasang besar... nak tak nak penduduk harus bersedia sepanjang masa," katanya.

Menurutnya, pada malam kejadian ban pecah baru-baru ini juga menyaksikan penduduk kampung bergotong-royong menyusun guni pasir di kawasan ban terbabit.

"Harap pihak berwajib segeralah bina semula ban itu yang kami lihat sudah bermasalah. Kalau sebelum ini, ada proses baik pulih tetapi penduduk tak yakin dengan kekuatan ban terbabit.

JALAN Kilang Padi yang rosak akibat kejadian ban pecah bulan lalu kini sedang dibaiki.
JALAN Kilang Padi yang rosak akibat kejadian ban pecah bulan lalu kini sedang dibaiki.

"Jangan biarkan penduduk hidup dalam ketakutan. Jika masalah ini tidak diatasi segera, tidak mustahil satu hari nanti sebahagian besar pekan Tanjong Karang ditenggelami air," katanya. ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Sementara, peniaga sayur, Nasimah Nasadini, 59, berkata, bulan lalu sahaja, tiga kali kejadian ban pecah berlaku hingga menimbulkan rasa panik dan trauma kepada dirinya.

Katanya, banjir paling teruk berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu yang mana hampir sebahagian besar barang niaga miliknya ditenggelami air dan tidak boleh dijual.

"Saya sudah berniaga hampir 10 tahun dan kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku walaupun ia hanya banjir kilat.

"Apabila (banjir) berlaku, saya dan peniaga lain terpaksa bertungkus-lumus membersihkan kedai yang terkena lumpur merah dan selut kesan daripada kejadian itu," katanya.

Nasimah mendakwa, pihak bertanggungjawab ada memantau keadaan ban terbabit dan menjalankan kerja penyelenggaraan.

Sementara itu, Abdullah Abd Hamid, 60, berkata, banjir yang berlaku bukan sahaja membataskan pergerakan penduduk, malah turut menjejaskan perniagaan.

Dakwanya, banjir bulan lalu menyaksikan Pasar Awam Tanjong Karang dinaiki air setinggi kira-kira satu meter mengakibatkan barang niaga musnah sepenuhnya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:30 AM