LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninggalkan parti itu hari ini mengukuhkan lagi kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai blok politik tempatan di negeri ini.

Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, tindakan itu secara tidak langsung melenyapkan pengaruh parti luar dalam GRS dan menjadikannya lebih berkuasa menentukan keputusan berkaitan hal ehwal Sabah.

"Paling penting ialah pastikan GRS mempunyai kuasa tawar-menawar dengan kerajaan persekutuan. Langkah GRS ini sebenarnya mengikut jejak Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terbukti diterima baik oleh rakyat Sarawak.

"Sejak setahun dua lalu juga menyaksikan suara-suara yang lebih lantang menyeru Sabah mempunyai sebuah platform parti politik tempatan sendiri," katanya ketika diminta mengulas tindakan pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu hari ini.

Kuok Tiung juga menyifatkan tindakan itu sebagai suatu langkah strategik dan untuk faedah jangka panjang bagi memastikan politik Sabah tidak terus dibelenggu persengketaan politik Semenanjung.

"Beberapa kali sudah konflik politik di Semenanjung menimbulkan kegusaran kepada politik Sabah kerana model politik Sabah adalah berbeza dengan Semenanjung.

"Persefahaman, toleransi dan matlamatnya berbeza yang mana fokus di Sabah lebih kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya," katanya.

Beliau berkata, politik Sabah, khususnya GRS juga dijangka lebih stabil selepas ini kerana tidak lagi tertakluk kepada kepemimpinan tertinggi Bersatu dalam menentukan nasib Sabah sendiri.

Pada masa sama, katanya GRS yang dijadikan tempat mereka bernaung akan lebih kukuh dan boleh memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah tanpa dibelenggu ketegangan politik di Semenanjung.

"Tumpuan seterusnya adalah fokus kepada memperolehi hak-hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan 40 peratus pendapatan menerusi cukai daripada Sabah dan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, menjelaskan keputusan keluar parti itu dibuat sebulat suara selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, berikutan tindakan itu, mereka secara kolektif menjadi ahli GRS sebelum menubuhkan sebuah parti tempatan baharu sebagai platform menggantikan Bersatu yang bernaung di bawah GRS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 3:03 PM