BEKAS pemimpin dan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dikatakan bakal menyertai sebuah parti tempatan. FOTO BERNAMA
BEKAS pemimpin dan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dikatakan bakal menyertai sebuah parti tempatan. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Bekas pemimpin dan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dikatakan bakal menyertai sebuah parti tempatan yang akan diambil alih sebagai landasan baharu politik mereka.

Berdasarkan sumber terdekat dengan bekas kepemimpinan Bersatu Sabah, parti terbabit yang dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) atau GAGASAN sudah bertapak hampir 10 tahun, namun kurang dikenali.

Difahamkan, ketika ini mereka dalam proses untuk mengurus pengambilalihan parti terbabit di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum pengumuman rasmi mengenainya dibuat.

Bekas pemimpin Bersatu Sabah yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dikatakan memilih untuk mengambil alih parti berkenaan kerana prosesnya lebih cepat berbanding menubuhkan parti baharu.

Sumber berkata, selepas meninggalkan Bersatu, mereka perlu mempunyai parti sebagai landasan baharu walaupun boleh menjadi ahli langsung dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini menjadi tempat mereka bernaung secara kolektif.

"Sebabnya keahlian GRS ketika ini adalah parti politik, jadi sudah tentu bekas pemimpin Bersatu juga perlu ada parti baharu yang menjadi sebahagian daripada komponen GRS.

"Mereka boleh menubuhkan parti baharu tetapi prosesnya mungkin memakan masa yang panjang, jadi bagi memudahkan kerja, usaha diambil untuk mengambil alih atau menyertai parti sedia ada," katanya, di sini.

PGRS yang kini diketuai bekas pemimpin DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Stephen Jimbangan bertanding 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) September 2020, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Parti itu yang kini mempunyai kira-kira 1,500 keahlian bagaimanapun tidak meletakkan sebarang calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 18 November lalu.

Sementara itu, ketika dihubungi Stephen berkata, spekulasi mengenai perkara itu mungkin timbul berdasarkan permohonan yang dihantarnya untuk PGRS menjadi parti komponen GRS.

Secara kebetulan, katanya pihaknya diminta menghantar permohonan kepada GRS Jumaat lalu selepas borang yang dihantar pada awal bulan lalu dikatakan tercicir.

"Mungkin masa kita menghantar permohonan itu disalah tafsir oleh beberapa pihak sebagai bekas ahli Bersatu menyertai PGRS," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika bekas ahli dan pemimpin Bersatu Sabah menyertai parti itu, malah menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan.

Katanya, tiada masalah untuk beliau berjumpa bekas pemimpin Bersatu jika mereka berminat, namun mengakui belum ada menghubunginya mengenai perkara itu setakat ini.

Stephen turut berkata, jika PGRS mahu diambil alih, beliau juga tiada masalah jika perkara itu dibuat demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah.

"Namun, ahli majlis tertinggi PGRS perlu membuat pengesahan terhadap sebarang keputusan yang perlu dibuat," katanya.

Semalam, Hajiji mengetuai pemimpin dan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah keluar daripada parti itu dan bernaung secara kolektif di bawah GRS untuk sementara waktu sehingga ada parti baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 3:12 PM