Hishamuddin ketika sidang media selepas menyerahkan aduan dan rayuan ke Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) berikutan sindiket penipuan Zutello dan e-ganjaran di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hishamuddin ketika sidang media selepas menyerahkan aduan dan rayuan ke Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) berikutan sindiket penipuan Zutello dan e-ganjaran di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menyelaraskan dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam siasatan dua kes penipuan membabitkan kerugian hampir RM15 bilion.

Dua kes penipuan itu masing-masing membabitkan sindiket penipuan pelaburan Zuttelo dengan anggaran kerugian AS$1 bilion (kira-kira RM4.5 bilion) dan penipuan melalui e-ganjaran yang ditawarkan melalui aplikasi Quinreward dengan kerugian dianggarkan RM10 bilion ditanggung mangsa .

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang hampir 100 peratus rakyat Malaysia itu difahamkan melebihi ratusan ribu mangsa.

"Kira-kira 220 laporan polis sudah dibuat setakat ini terhadap syarikat Zuttelo yang dipercayai aktif beroperasi sejak 2020.

"Bagaimanapun, pada 17 Mac 2023, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bertindak mengklarifikasikan kes ini sebagai Tiada Tindakan Lanjut atau No Further Action (NFA) dengan sekadar beralasan tiada petunjuk untuk mendapatkan satu siasatan yang berhasil

"Begitu juga penipuan melalui e-ganjaran apabila sebahagian besar dari laporan polis berkenaan, pihak PDRM mengklasifikasikan kes sebagai Rujuk kepada Lain Jabatan (ROA) atau Rujuk Lain Agensi (RLA).

"Tujuan MHO hadir bersama mangsa ke NFCC kerana kami mempunyai sebab yang kukuh untuk menyatakan bahawa syarikat Zuttelo dan penipuan melalui e-ganjaran ini seharusnya dikenakan siasatan di bawah Seksyen 415 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Beliau ditemui selepas mewakili mangsa kedua-dua penipuan itu menyerahkan surat memorandum serahan tangan dialamatkan kepada Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Mustafar Ali kepada wakilnya di Pejabat NFCC Menara Seri Wilayah, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pertemuan MHO dengan wakil Ketua Pengarah NFCC di pejabat agensi itu, NFCC sudah pun memberikan komitmen penuh dan bersedia membantu melalui saksi dan bukti baharu dikemukakan mangsa penipuan.

"Sekiranya masih tiada tindakan sewajarnya untuk membela mangsa, pihak MHO akan memanjangkan kes ini kepada pihak Pejabat Peguam Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 4:26 PM