GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti membabitkan 200 syarikat yang dipercayai melakukan penipuan skim pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM1 bilion.

SC berkata, seandainya terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil.

Menurutnya, mengikut amalan atau prosedur piawai, SC tidak memberi ulasan mengenai kes yang masih dalam siasatan, bagi memastikan integriti penyiasatan tidak terjejas.

"SC juga menasihatkan mereka yang ingin melabur dalam saham syarikat awam tidak tersenarai untuk membuat penilaian yang sewajarnya termasuklah representasi yang dibuat dan juga mengambil kira tahap risiko yang boleh dan mampu diambil sebelum membuat sebarang pelaburan.

"Mengikut undang-undang sekuriti, walaupun syarikat awam tidak bersenarai (unlisted public company atau UPC) tidak memerlukan kelulusan dari SC untuk menawarkan saham kepada Pelabur Sofistikated, UPC mempunyai kewajipan undang-undang untuk memastikan pernyataan dan representasi yang dibuat berhubung tawarannya mestilah benar dan tidak mengelirukan kepada pelabur termasuklah kemunasabahan janji/representasi pulangan pelaburan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, ia termasuklah memorandum maklumat yang dikeluarkan oleh UPC.

"Memorandum maklumat ini secara amnya memberi penjelasan mengenai perniagaan dan hal ehwal UPC supaya pelabur sofistikated dapat membuat penilaian sewajarnya dan membuat keputusan melabur maklum termasuk kemunasabahan pernyataan/janji yang dibuat oleh UPC.

"Ini adalah penting kerana pelabur harusnya sedia maklum bahawa SC tidak mengesyorkan tawaran atau bertanggungjawab terhadap kenyataan dan representasi yang dibuat di dalam memorandum maklumat dan risiko pelaburan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pelabur," katanya.

Menurutnya, untuk keterangan lanjut mengenai Pelabur Sofistikated, sila rujuk Jadual 6 dan Z Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Garis Panduan mengenai Tawaran Saham oleh UPC untuk Pelabur Sofistikated.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan lebih 200 syarikat dipercayai aktif melakukan penipuan skim pelaburan membabitkan kerugian RM1 bilion.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, skim pelaburan seumpama itu sudah wujud sejak 2015, tetapi semakin trending pada tahun ini.

Beliau dipetik berkata, sindiket penipuan ini menggunakan syarikat berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan syarikat ala patuh syariah dengan menawarkan skim pelaburan sah di sisi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 10:34 AM