Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Proses melantik timbalan menteri dalam barisan Kabinet mungkin mengambil masa antara satu hingga dua minggu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berkata ketika ini prosesnya sudah bermula dengan gabungan parti politik sudah diminta mengemukakan nama calon sesuai.

Beliau juga mengesahkan perkara itu dibincangkan secara pendek dan ringkas dalam mesyuarat khas Kabinet semalam.

"Proses itu akan berjalan minggu ini dan sama seperti kita gunakan untuk membentuk Kabinet iaitu peraturan tertentu, dari segi jumlah timbalan menteri daripada gabungan tertentu akan bergantung kepada jumlah sumbangan ahli parlimen masing-masing.

"Perdana Menteri menentukan portfolio yang dirasakan sesuai dan terpulang kepada gabungan untuk mencalonkan nama.

"Berdasarkan nama itu Perdana Menteri akan melihat kesesuaian, kepakaran dan pengalaman sebelum dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong mungkin akan ambil satu, dua minggu.. tapi prosesnya sudah bermula," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), hari ini.

Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan saiz barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang disertai 28 Menteri.

Jumlah saiz itu, termasuk Anwar yang memegang portfolio Menteri Kewangan adalah lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan sebelum ini.

Anwar turut mengumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 2:33 PM
Rafizi pada sidang media selepas merasmikan persidangan Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke dua belas 2021-2025 (RMK12) di The Everly Putrajaya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Rafizi pada sidang media selepas merasmikan persidangan Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke dua belas 2021-2025 (RMK12) di The Everly Putrajaya. FOTO HAZREEN MOHAMAD