GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah berkenaan merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan 100 Tahun empat era Universiti Pendidikan Idris (UPSI), malam ini.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata majlis berkenaan akan diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim jam 8 malam.

Katanya, empat era itu adalah daripada nama Sultan Idris Training College (SITC) kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)- Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dan akhirnya dikenali sebagai UPSI.

"Sambutan 100 tahun sangat bermakna kerana banyak kenangan dan sumbangan warga institusi pendidikan tersohor ini sejak zaman SITC, MPSI, IPSI dan sehingga ke era UPSI.

"Sepanjang empat era itu ramai tokoh kepemimpinan, kebahasaan, kesusasteraan, keusahawanan kesukanan serta kesukarelawanan dilahirkan sekali gus mengharumkan nama institusi yang dikenali sebagai Ibu Kandung Suluh Budiman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Amin berkata, UPSI memiliki sejarah yang panjang berikutan penubuhannya berkesinambungan dari zaman SITC yang ditubuhkan pada 29 November 1922, MPSI, IPSI seterusnya dinaiktaraf kepada UPSI pada 1 Mei 1997.

"Saya berterima kasih kepada seluruh kakitangan UPSI yang berpenat lelah bertungkus-lumus menjayakan pelbagai program sehingga pada Malam Kemuncak Sambutan 100 Tahun ini.

"UPSI kini sedang meniti kemasyhuran dan membina legasi baharu apabila pelbagai kejayaan dicapai sama ada dalam mahupun di luar negara.

"Malah UPSI juga semakin dikenali dan disegani dan mendapat fokus masyarakat untuk dijadikan sebagai universiti rujukan dalam dunia pendidikan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai sejarah UPSI, Mohd Amin berkata kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang ada kini adalah kampus bersejarah berikutan bermulanya pembinaan Bangunan Suluh Budiman pada zaman SITC serta Kampus Sultan Azlan Shah yang terletak di Proton City pula terkenal dengan panorama keindahannya di sisi Banjaran Titiwangsa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sempena sambutan 100 tahun itu pihaknya turut menjual pelbagai jenis cenderamata yang terpapar logo sambutan 100 Tahun untuk dibeli dan dimiliki oleh warga UPSI mahupun alumni SITC-MPSI-IPSI.

Antara cenderamata yang dijual sebagai koleksi peribadi itu adalah plat kereta UG (Universiti Guru), setem kenangan serta duit syiling.

"Sepanjang tahun ini dan sempena sambutan, UPSI menjayakan sebanyak 100 program yang membabitkan kluster dalam penganjuran program sejarah, teknologi pendidikan, kebudayaan, kerohanian, kepimpinan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, rekreasi, keusahawanan, pengantarabangsaan, komuniti, serta alumni yang dijayakan semua peringkat pusat tanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 1:20 PM