Dr Mohd Abdul Nasir (kiri) pada sesi penyerahan surat anugerah derma siswa kepada Wan Nur Atierah (dua dari kiri) yang turut menyaksikan Dr Mohd Izwan (kanan) serta ibunya, Hamsiah Muhamad. FOTO IHSAN UPSI
Dr Mohd Abdul Nasir (kiri) pada sesi penyerahan surat anugerah derma siswa kepada Wan Nur Atierah (dua dari kiri) yang turut menyaksikan Dr Mohd Izwan (kanan) serta ibunya, Hamsiah Muhamad. FOTO IHSAN UPSI
Ihsan Noorzali


Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) prihatin terhadap nasib tiga bakal pelajar peringkat ijazah sarjana muda ambilan Oktober ini dengan memberi derma siswa bagi merealisasikan impian mereka melanjutkan pengajian.

Pengarah Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Profesor Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata, derma siswa itu digerakkan sebagai memenuhi peranan membantu pelajar yang mengalami masalah kewangan.

Beliau berkata, proses memberi sumbangan derma siswa untuk bakal pelajar UPSI, Wan Nur Atierah Mohd Nasrom dari Kampung Bendang Pulau Palekbang, Tumpat, Kelantan itu diambil sejak dua minggu lalu apabila mendapati maklumat masalah kewangan yang dihadapi remaja itu.

"Hari ini kami ke rumah Wan Nur Atierah untuk menyampaikan surat derma siswa sekali gus membolehkannya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia)," katanya.

Hadir sama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Shahril serta Presiden Alumni Anak Kandung Suluh Budiman Kelantan, Mohd Zapri Mat Zin.

Mohd Abdul Nasir berkata, universiti sudah mengenal pasti bentuk bantuan berdasarkan maklumat pemohon yang ada ketika memproses surat tawaran.

Katanya, inisiatif WEZAS secara berterusan itu bertujuan untuk memastikan peluang pendidikan diberi kepada seluruh lapisan masyarakat khususnya mereka yang berkeperluan supaya pelajar terus fokus dalam menuntut ilmu seterusnya membela nasib diri dan keluarga kelak.

Sementara itu, Wan Nur Atierah berkata dia terharu atas keprihatinan pihak UPSI merealisasikan impiannya melanjutkan pengajian.

"Saya berazam tidak akan menghampakan harapan kedua ibu bapa untuk belajar sehingga berjaya menamatkan pengajian dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan pihak UPSI yang bersimpati terhadap saya dan keluarga," katanya.

Turut menerima derma siswa ialah Raja Nur Ezaati Raja Mansor dari Kampung Leheh, Ayer Lanas, Kelantan yang sedang menerima rawatan Prolapsed Intervertebral Disc (PIC).

WEZAS juga membantu menyampaikan derma siswa kepada Muhammad Shamem Ajmathullah Khan yang ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), manakala Siti NurhanisYaacob yang ditawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) di Pulau Pinang dan Melaka.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI sentiasa cakna dalam isu pendidikan dan prihatin bagi mengenal pasti pelajar UPSI yang berkeperluan untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

"Saya berharap semua pelajar yang dianugerahkan derma siswa akan belajar dengan tekun dan rajin demi membela nasib keluarga dan kecemerlangan masa depannya," katanya.

#kw Upsi, derma siswa, kewangan, pengajian, bantu, Tanjung Malim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:24 PM