MOHD Azmi Abdul Hamid. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Azmi Abdul Hamid. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) mengesyorkan kepada kerajaan supaya kebergantungan negara terhadap bahan makanan import diatasi dalam jangka masa sederhana dan panjang, kata pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sambil menyambut baik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang segera menumpukan perhatian isu kos sara hidup sebaik saja dilantik ke jawatan itu, Mohd Azmi berkata langkah itu penting untuk memastikan perusahaan domestik dikembangkan bagi menampung dan menstabilkan keperluan dalam negara.

"Dengan demikian, langkah mengutamakan pengeluaran dalam negara hendaklah diusahakan dengan mewujudkan insentif yang wajar kepada perusahaan tempatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azmi berkata subsidi bersasar adalah rasionalisasi dasar yang tepat, namun ia harus dilaksanakan dengan mekanisme efisien dan memastikan keperluan asas rakyat tidak terdedah kepada monopoli serta eskploitasi oleh perusahaan besar.

Kos sara hidup yang meliputi makanan, utiliti, pengangkutan, kesihatan, perumahan dan pendidikan juga perlu menjadi tumpuan utama kerajaan dan perlu disokong oleh pengeluar, peniaga dan pengguna, katanya.

Semalam, Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Perdana Putra, Putrajaya mengarahkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata subsidi yang ditanggung kerajaan pada masa ini antaranya subsidi elektrik, dinikmati semua golongan walaupun ia sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan rakyat miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 4:22 PM