Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Malaysia perlu merangka saluran bersesuaian untuk menyalurkan semula subsidi pukal bagi membantu kumpulan rakyat B40, M40 serta peniaga kecil yang terkesan dan memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini subsidi pukal turut dinikmati golongan kaya dan konglomerat.

Mengambil contoh subsidi elektrik, katanya, syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna, tetapi 50 peratus daripada subsidi berkenaan dinikmati oleh 10 peratus atau 1 juta pengguna yang terdiri daripada kumpulan konglomerat.

"Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana (saluran) yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebajikan ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anwar berkata, pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) yang dipengerusikannya pagi ini, sebanyak tiga kertas dibentangkan, selain mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Katanya, laporan itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan, terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna.

Menurutnya, kerajaan konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.

"Sektor penternakan negara sudah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport.

"Kerajaan berhasrat untuk memudahkan industri ini untuk mengeksport ke luar produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat, dan ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi kesan buruk.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan kerajaan di peringkat pengguna.

Katanya, beberapa ikhtiar juga sudah disyorkan dan ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 3:19 PM