Dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang ditahan polis kerana melakukan aksi wheelie di hadapan lampu isyarat Taman Tunku Maheran. FOTO IHSAN PDRM
Dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang ditahan polis kerana melakukan aksi wheelie di hadapan lampu isyarat Taman Tunku Maheran. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Tindakan dua remaja lelaki yang melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) di hadapan anggota polis mengundang padah apabila mereka ditahan di Taman Tunku Maheran, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.30 pagi, mereka berusia 17 dan 18 tahun ditahan sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Wan Mazuan Wan Mahmud dalam Op Samseng Jalanan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan tugasan di Jalan Kepala Batas, di sini.

Menurutnya, mereka mendapati dua remaja terbabit melakukan aksi 'wheelie' sebanyak lima kali dari lampu isyarat Taman Tunku Maheran menghala ke arah lampu isyarat berhampiran Pasaraya Yawata, di sini.

"Perbuatan dua remaja itu membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain lalu ditahan di lampu isyarat Taman Tunku Maheran oleh anggota polis yang mengekori mereka.

"Polis turut merampas dua motosikal Honda EX-5 milik pelajar Tingkatan Lima dan pencuci kereta terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:20 PM