GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Nor Idayu Hashim sebagai calon baharu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman.

Pengumuman itu dimaklumkan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mengesahkan parti itu akan bertanding di DUN Tioman dengan mengekalkan calon PN daripada Pas.

"Saya sudah menerima surat daripada Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar mengenai calon yang dimaksudkan.

"Calon yang dipilih Nor Idayu Hashim, 35. Nor Idayu dipilih dalam kalangan pimpinan akar umbi bagi mewakili suara wanita di dalam Dun Pahang.

"Nor Idayu juga seorang muslimat dalam kalangan pemimpin wanita tempatan dan orang muda yang berupaya menyelami isi hati akar umbi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 19 November lalu, Md Yunus Ramli, calon PN bagi Dun Tioman meninggal dunia dipercayai selepas mengalami serangan jantung.

Berikutan itu, pengundian bagi kerusi Dun Tioman pada PRU-15 pada 19 November itu ditangguhkan.

Pada PRU-15, Allahyarham Md Yunus sepatutnya menghadapi saingan lima penjuru yang turut membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan (PH), Osman A Bakar (Pejuang) serta Sulaiman Bakar (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon bagi kerusi DUN Tioman ditetapkan esok, sementara pengundian awal pada 3 Disember dan hari pengundian pada 7 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 1:01 PM