RAMLI. FOTO Arkib NSTP
RAMLI. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman, hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengundi Dun Tioman tidak perlu bimbang untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, polis Pahang mengatur penugasan membabitkan 400 pegawai dan anggota untuk memastikan ketenteraman awam terjamin serta membantu kelancaran proses mengundi.

"Oleh itu, semua pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan diingatkan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan penugasan semasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 28,108 pemilih berdaftar di Dun Tioman.

Sebanyak 17 pusat mengundi dan 52 saluran akan dibuka bagi proses pengundian di Dun Tioman.

PRU-15 di Dun Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, 61, akibat serangan jantung beberapa jam sebelum proses pengundian PRU-15 pada 19 November lalu.

Dun Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas) manakala Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN tetapi namanya masih tertera di kertas undi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 8:27 AM