SERAMAI 350 pegawai dan anggota polis bertugas di DUN Tioman termasuk di Pulau Tioman. FOTO Asrol Awang
SERAMAI 350 pegawai dan anggota polis bertugas di DUN Tioman termasuk di Pulau Tioman. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Seramai 350 pegawai dan anggota polis akan terbabit menjaga keselamatan dan mengawal situasi sepanjang proses pengundian di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), esok.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, aspek keselamatan jalan raya dan ketenteraman awam turut dilaksanakan kerana ia sebahagian daripada penugasan polis di Dun Tioman.

Sehubungan itu, katanya, polis menasihati penduduk kawasan Dun Tioman keluar mengundi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dalam sistem demokrasi negara ini.

"Elakkan bertelagah sesama sendiri yang hanya sia-sia dan mengancam keselamatan diri dan masyarakat.

"Oleh itu, seramai 350 pegawai dan anggota polis bertugas di DUN Tioman termasuk di Pulau Tioman pada hari pengundian esok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PRU-15 di Dun Tioman ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, 61 yang meninggal dunia akibat dipercayai serangan jantung beberapa jam sebelum proses pengundian PRU-15 pada 19 November lalu.

Dun Tioman akan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Bagaimanapun, calon lain, Mohd Fadzli Mohd Ramly dari Pakatan Harapan (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN untuk meningkatkan peluang untuk menang tetapi namanya (Mohd Fadzli) masih tertera di kertas undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 9:58 AM