Sudirman Mohd Tahir


Sungai Buloh: "Undi Barisan Nasional (BN) dapat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri."

Demikian kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin menafikan kandungan aku janji untuk mencalonkan dan menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

Khairy berkata, isi kandungan yang ditandatangani adalah aku janji calon yang bertanding agar tidak lompat parti dan taat setia kepada parti.

"Aku janji yang tular itu memang tak betul. Saya calon BN. Aku janji yang kononnya ditandatangani Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah di atas 'letter head' atau kepala surat Umno adalah tidak benar.

"Pertama, kita bertanding atas BN. Kita tandatangan aku janji yang ada kaitan dengan lompat parti dan kesetiaan kepada parti atas kepala surat BN, itu yang saya tandatangan.

"Tidak ada yang tandatangan kepala surat Umno yang memberi aku janji seperti mana ditularkan. Calon PM adalah Ismail Sabri, 'fullstop'. Itu adalah pendirian BN yang diumumkan oleh Zahid sendiri," katanya.

Terdahulu Khairy yang juga calon Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditemui pada Majlis Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan Peringkat Hospital Sungai Buloh Tahun 2022 yang diadakan di sini, pagi ini.

Dalam masa sama, Khairy turut menegaskan calon yang bertanding atas tiket BN menandatangani aku janji yang menggunakan kepala surat BN.

Terdahulu tular isi kandungan aku janji itu antara lain menyatakan ikrar calon Umno dan BN yang menang pada PRU-15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Dokumen tular itu turut menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden Umno dalam sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika Umno dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 12:00 PM