HALIMAH Mohamed pada Majlis Perjumpaan Mesra Pemimpin vs Pemimpin di sebuah restoran di Kluang, Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
HALIMAH Mohamed pada Majlis Perjumpaan Mesra Pemimpin vs Pemimpin di sebuah restoran di Kluang, Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Tinggal beberapa hari lagi menjelang hari mengundi Sabtu ini, kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang masuk fasa pecutan akhir perlu berlangsung dalam suasana sihat dan tidak menggugat perpaduan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara merangkap penyandang Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perbezaan ideologi politik tidak harus merosakkan kehidupan rukun antara kaum yang dikecapi selama ini.

Katanya, sesiapa sahaja boleh turun berkempen namun perlu diingatkan terutamanya 'orang luar' supaya tidak mengadu domba dan memecah-belahkan perpaduan masyarakat tempatan.

"Ada di antara mereka yang datang kempen orang dari luar dan tak faham sentimen setempat.

"Saya nasihatkan dalam kempen tinggal tiga hari sahaja, kita nak pilih kerajaan jangan sampai pertaruhkan perpaduan antara kaum kerana selepas itu kita mahu hidup sebagai masyarakat yang bersatu padu dan aman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Mesra Pemimpin vs Pemimpin di sebuah restoran di sini malam tadi. Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kluang, Gan Ping Sieu.

Halimah berkata, rakyat perlu faham tanggungjawab dan hak untuk memilih kerajaan yang lebih matang serta kukuh seperti mana diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hala tuju politiknya selepas tidak dicalonkan kali ini, Halimah dalam nada berseloroh berkata, mahu menghabiskan masanya duduk di rumah dan sudah tua untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 11:53 AM