BERNAMA

Ipoh: Seramai 104,363 ahli jawatankuasa Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara mendaftar untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sehingga kini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menggerakkan pelbagai kempen dan program untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada 250,000 ahli di 8,330 KRT di seluruh negara supaya membuat pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Ini kerana kami tahu ada di antara mereka yang mahu menunggu dan melihat (keberkesanan vaksin Covid-19) dan tidak mahu mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

"Jadi, untuk selamatkan diri sendiri, keluarga dan komuniti, kita kena lindung diri... kita daftar, sampai giliran kita untuk dipanggil vaksinasi kita ambil vaksin, Insha-Allah semua selamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Negeri Perak Tahun 2021 yang dirasmikan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri di sini, hari ini.

Halimah berucap pada program Malaysia Prihatin Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Negeri Perak di sebuah hotel, hari ini. FOTO BERNAMA
Halimah berucap pada program Malaysia Prihatin Memperkasa Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Negeri Perak di sebuah hotel, hari ini. FOTO BERNAMA

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Ti Lian Ker serta Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata KPN telah menetapkan pengerusi jawatankuasa KRT hanya boleh memegang jawatan bagi tempoh enam tahun sahaja dan selepas tempoh tersebut, jawatan itu perlu diberi kepada ahli jawatankuasa yang lain untuk menerajui KRT.

Beliau berkata ketetapan itu selaras dengan proses peremajaan KRT supaya sentiasa kekal relevan dan efisien seterusnya dapat dimanfaatkan lebih ramai komuniti dalam masyarakat.

"Dalam dasar baharu, kalau dia (pengerusi jawatankuasa) terpilih bagi peringkat pertama dan selepas itu berpeluang lagi memegang jawatan sehingga enam tahun menerusi pemilihan, selepas itu dia perlu beri peluang di antara ahli jawatankuasa yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Halimah berkata KPN turut menetapkan supaya ahli jawatankuasa turut melibatkan penyertaan pelbagai kaum termasuk 30 peratus pembabitan golongan wanita dan 30 peratus golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun dalam KRT.

"Perubahan yang dilakukan itu bagi membolehkan fungsi KRT dipelbagaikan seiring dengan peredaran zaman dan teknologi selain mampu menarik minat masyarakat untuk menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 5:45 PM