Halimah Sadique.
Halimah Sadique.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur:  Pengarah filem terkenal, Allahyarham Mamat Khalid, 58, disifatkan seorang wira yang gigih serta tidak jemu memperjuangkan agenda perpaduan di negara ini menerusi pelbagai karya seni dihasilkannya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique yang menzahirkan ucapan takziah atas pemergian mengejut Mamat, jam 11.25 malam tadi, menganggap pengarah itu sudah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum di dalam karya- karya seninya.

"Allahyarham seorang insan seni yang hebat apabila turut membantu memberi sumbangan tidak ternilai kepada negara menerusi karya seninya yang menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia.

"Arwah adalah pengkarya dan ahli seni yang patut dicontohi semua. Apatah lagi, karya seni adalah medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Halimah berkata sebagaimana Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di negara ini, beliau juga melihat arwah Mamat sebegitu.

"Ada nilai kemasyarakatan, nilai perpaduan kaum, nilai kebersamaan melalui karya-karya seni dihasilkan Mamat.

"Allahyarham bukan saja menghasilkan karya yang bersifat 'humor' (lucu), tetapi juga mengajak seluruh masyarakat supaya saling hormat menghormati, berkasih sayang, tolong menolong dan bertoleransi di antara satu sama lain.

"Di situ 'mahalnya' sebuah karya seni apabila ia turut bercerita dengan nilai yang positif, sehingga dikenang dalam sejarah," katanya lagi.

Halimah berkata menjadi keindahan sebuah karya seseorang pengarah filem itu apabila ia menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum, selain menghantar mesej-mesej positif yang diterima sehingga melangkaui zaman.

Katanya, pemergian Mamat juga kehilangan besar kepada negara. Namun bagi Halimah, beliau percaya karya-karya ditinggalkan arwah akan terus hidup dan segar di mata seluruh masyarakat Malaysia.

Terdahulu, pengarah filem Zombi  Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah itu dilaporkan meninggal dunia di dalam ambulans ketika perjalanan ke Hospital Slim River, Perak akibat serangan jantung, lewat malam tadi.

Semoga seluruh keluarga tabah dengan kehilangan ini, Allahyarham Mamat juga adik kepada kartunis tersohor negara, Datuk Lat meninggalkan seorang balu, Hasmah Hassan serta lima orang anak.

Jenazah Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad  Mohamad Khalid akan di sembahyangkan di Masjid Sungai Rokam, jam 11 pagi ini dan seterusnya dikebumi di Masjid Kampung Paloh, Ipoh, Perak.

 

Berita berkaitan

Mamat Khalid meninggal dunia

Kehilangan bakat tiada pengganti

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 9:09 AM