Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Barisan Nasional (BN) belum pernah bersemuka dengan mana-mana pemimpin Perikatan Nasional (PN) atau komponennya berhubung penggabungan bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden MCA yang juga Naib Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, soal penggabungan antara BN dan PN tidak pernah dibincangkan.

"Soal ini tidak timbul kerana tak pernah ada perbincangan. Kami berharap BN dapat menang lebih selesa pada PRU-15 ini.

"Saya selaku Naib Pengerusi BN pun saya tak tahu perkara itu, dari mana datangnya maklumat sebegini , saya pun baru dapat maklumat Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menafikan kuasa kepada Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan).

"Biarlah kita bertanding atas tiket BN, kita mendoakan yang terbaik, iaitu mendapat mandat lebih padu daripada rakyat," katanya ketika sidang media di Steses Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang di sini hari ini.

Hadir sama, calon BN Parlimen Kluang, Gan Ping Sieu.

Wee berkata, sekiranya BN tidak mendapat mandat lebih besar dalam PRU-15, kestabilan politik tidak dapat dicapai sekali gus menyebabkan rakyat dalam kerugian.

"Inilah masalah kalau BN tidak dapat mandat lebih besar, terpaksa bergabung, macam macam kemungkinan formula akan orang bangkitkan.

"Tetapi sekiranya kita dapat mandat yang besar dan satu kerajaan stabil dapat ditubuhkan seperti dilakukan pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor, sudah tentu kita boleh memerintah secara solo.

"Itu adalah ke arah kestabilan dan akan membawa kemakmuran, pelabur akan yakin, kemakmuran akan dibawa daripada kestabilan politik akhirnya akan menguntungkan rakyat dengan memberikan peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pada PRU-15.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipetik berkata, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 4:49 PM