PENCERAHAN SPR mengenai isu data pengundi. FOTO Ihsan SPR.
PENCERAHAN SPR mengenai isu data pengundi. FOTO Ihsan SPR.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan laporan berkenaan lebih 800,000 data pengundi di sistem MySPR dijual kepada pihak lain adalah dakwaan lama ditularkan semula.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya sudah menjalankan kerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menyiasat berhubung laporan berkenaan.

"SPR sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan tiada pencerobohan berlaku kepada sistem suruhanjaya ini.

"Pihak SPR sentiasa memastikan keselamatan data pengundi melalui pemantauan yang berterusan menggunakan infrastruktur keselamatan yang efektif," katanya dalam pencerahan berbentuk grafik menerusi akaun Facebook (FB) rasmi SPR, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.

Berdasarkan laporan di lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar swafoto dan MyKad yang menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).

Malah, dalam ciapan di Twitter oleh seorang pengguna yang bernama Acailjawe, penjual mendakwa bahawa pangkalan data itu juga mempunyai banyak butiran lain seperti nama penuh, nombor ID, alamat e-mel, tarikh lahir, kata laluan dan alamat penuh.

Pada masa sama, data itu turut mengandungi lebih daripada 1.6 juta imej eKYC dengan jumlah saiz fail 67GB dan mendakwa bahawa mereka memiliki daftar pemilih penuh dengan butiran 22 juta pemilih walaupun penyenaraian itu tertumpu semata-mata pada data eKYC sistem dalam talian MySPR.

Laman web itu memaklumkan walaupun ciapan Acaiijiwe menjadi tular semalam, penyenaraian itu berlaku pada April berdasarkan lawatan mereka sendiri ke pasaran pangkalan data.

Isu itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila kelmarin beliau meminta SPR untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 5:59 PM