GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Pangkalan data dalam sistem MySPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa dijual di pasaran pangkalan data terkenal.

Berdasarkan laporan di laman web lowyat.net, difahamkan terdapat lebih 800,000 pengguna di pangkalan data itu termasuk gambar swafoto dan MyKad yang menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).

Menerusi ciapan di Twitter oleh pengguna Acailjawe, penjual mendakwa bahawa pangkalan data itu juga termasuk banyak butiran lain seperti nama penuh, nombor ID, alamat e-mel, tarikh lahir, kata laluan dan alamat penuh.

Selain itu, ia juga mengandungi lebih daripada 1.6 juta imej eKYC dengan jumlah saiz fail 67GB.

Ciapan itu turut memaklumkan, penjual meminta sekitar RM9,401 (AS$2,000) dan secara khusus meminta untuk dibayar sama ada dalam mata wang kripto Bitcoin atau Monero.

Penjual itu juga mendakwa bahawa mereka memiliki daftar pemilih penuh dengan butiran 22 juta pemilih walaupun penyenaraian itu tertumpu semata-mata pada data eKYC sistem dalam talian MySPR.

Laman web itu memaklumkan walaupun ciapan Acaiijiwe menjadi tular semalam, penyenaraian itu berlaku pada bulan April berdasarkan lawatan mereka sendiri ke pasaran pangkalan data.

Malah katanya, pangkalan data MySPR disenaraikan jauh lebih awal daripada pangkalan data milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang sebenarnya dilakukan oleh penjual sama dan mencetuskan kekecohan besar pada Mei lalu.

Walaupun ia disenaraikan tujuh bulan lalu, bebenang MySPR secara amnya masih aktif kerana bebenang terakhir penjual berlaku semalam (kelmarin).

Katanya, tidak diketahui sama ada SPR mengetahui penyenaraian itu tetapi ia dilihat membimbangkan apabila penjual itu bukan saja masih terlepas dan masih aktif mencari pembeli.

Sistem MySPR Daftar yang dilancarkan pada 2019 adalah sistem yang membolehkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih dalam talian menerusi laman web itu.

Walaupun pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dimulakan pada awal tahun ini, MySPR Daftar masih menggunakan sistem itu termasuk jika ingin menukar alamat mengundi.

Warga Malaysia yang menetap di luar negara, anggota pasukan keselamatan yang layak dan agensi barisan hadapan berkaitan yang perlu bertugas pada pilihan raya juga masih perlu menggunakan sistem berkenaan untuk membuat permohonan undi pos.

Sebagai sebahagian daripada proses pendaftaran, pengguna perlu menyerahkan gambar MyKad mereka bersama swafoto yang memegang kad untuk pengesahan berasaskan e-KYC.

Ini juga terpakai kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun mereka perlu menunjukkan kad pengenalan tentera atau polis.

Sehingga kini SPR masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan perkara ini dan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani juga gagal dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 12:53 PM