HAMZAH (kiri) ketika hadir Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan PRU-15 di Maktab Teknik PDRM, Bakri hari ini. FOTO Essa Abu Yamin.
HAMZAH (kiri) ketika hadir Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan PRU-15 di Maktab Teknik PDRM, Bakri hari ini. FOTO Essa Abu Yamin.
Essa Abu Yamin


Muar: Senarai Daftar Pemilih sememangnya boleh dibeli oleh sesiapa saja melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, data berkenaan tidak akan memaparkan semua maklumat pengundi terutamanya perkara yang berkaitan dengan nombor telefon.

"Nama-nama pengundi itu boleh dibeli. Yang nak beli pada sindiket itu buat apa? Kalau nama-nama pengundi itu ada nombor telefon maknanya bukan dari SPR.

"Itu kemungkinan dibuat daripada kalangan mereka sendiri dan mendapat daripada pelbagai sumber.

"Jadi kalau dia itu melakukan kesalahan dengan mencuri maklumat data-data yang sebenarnya tidak boleh kerana menceroboh maklumat individu itu adalah melakukan kesalahan dan itu kesalahan lain yang diwar- warkan seolah-olah buat sesuatu dapat daripada SPR.

"Senarai nama pengundi itu tertentu kepada kawasan tertentu saja, tiada nombor telefon," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2022 dan PRU15 di Maktab Teknik PDRM Bakri, dekat sini hari ini.

Katanya, jika ada laporan polis menyatakan mahu jual nama-nama bersama nombor telefon, ia perlu disemak semula kerana bimbang tersalah membeli nombor orang lain.

Turut hadir dalam taklimat berkenaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.

Berdasarkan laporan di laman web lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar swafoto dan MyKad menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 8:35 PM