Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemakaian cermin mata tidak menyebabkan masalah untuk mana-mana individu melaksanakan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) iaitu memuat naik swafoto dan kad pengenalan untuk pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menerusi hantaran di X hari ini berkata, bagi melaksanakan proses berkenaan, pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon bimbit masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar tidak berada dalam tetapan privasi.

Katanya, proses e-KYC boleh dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh kurang lima minit dan setakat 9 pagi ini, seramai 230,443 pengguna telah melaksanakannya dengan 61 peratus selesai pengesahan.

Beliau berkata, sejak PADU dilancar pada Selasa lalu, bilangan pengguna berdaftar adalah seramai 456,136.

Menyentuh mengenai masalah error code 100, Rafizi berkata, bagi pengguna yang mendaftar PADU menggunakan komputer atau komputer riba, mereka akan diberi kod QR dan seterusnya perlu mengimbas menggunakan telefon pintar untuk proses mengambil gambar kad pengenalan depan dan belakang serta swafoto apabila sampai ke peringkat e-KYC.

"Ketika ini terdapat pengguna yang menghadapi masalah ketika melakukan proses tersebut dan mendapat error code 100. Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon pintar masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar tidak berada dalam tetapan private," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengguna masih menghadapi masalah berkaitan e-KYC, mereka boleh hadir ke kaunter PADU yang terdekat dan senarai kaunter boleh didapati di pautan padu.gov.my/hubungi/lokasi.

Selain itu, Rafizi berkata, pengguna juga perlu mengemas kini maklumat pekerjaan manakala bagi penganggur, mereka boleh memasukkan amaun bantuan atau sumbangan yang diterima sama ada daripada agensi kerajaan atau ahli keluarga bagi menampung kehidupan.

Katanya, mekanisme kawalan maklumat yang dibangunkan dalam sistem PADU memerlukan individu membuat perakuan dan pengesahan maklumat yang dikemas kini selepas menjalani proses pengesahan identiti melalui e-KYC.

"Setiap maklumat yang telah diperakukan tidak boleh dipinda oleh individu kecuali dengan membuat pelaporan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membolehkan tindakan dilaksanakan oleh pentadbir PADU," kata Rafizi.

Selain itu, Rafizi berkata, pihaknya sentiasa melihat isu keselamatan siber sebagai isu serius dan akan sentiasa memantau serta menguji sistem PADU untuk memastikan tiada kecacatan atau kelemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 1:47 PM