ISMAIL ketika hadir di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ISMAIL ketika hadir di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Aizat Sharif


Image

Arau: Cara kepimpinan era baru pada hari ini tidak terlalu terikat dengan parti menyebabkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terutama di Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang boleh dianggap sebagai 'adik beradik'.

Calon DUN Tambun Tulang yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Ismail Kassim secara berseloroh berkata, dia dan calon yang bertanding dalam DUN itu sudah 'berpakat' berkemungkinan mereka akan menjamu selera dengan makan ikan bakar bersama.

"Calon yang bertanding kali ini agak mengagumkan kerana banyak calon muda seperti calon Perikatan Nasional (PN), Wan Zikri Afthar Ishak.

"Kami dah 'pakat' mungkin kami akan makan ikan bakar sekali, dalam era kepimpinan baru kali ini, kita tak terlalu terikat dengan parti masing-masing.

"Malah, amalan dalam negara maju juga, calon PRU yang bertanding boleh berkawan dan bersemuka walaupun kita berlainan ideologi parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Proses Penamaan Calon Parlimen Arau dan DUN Pauh, Guar Sanji, Tambun Tulang, Simpang Empat dan Sanglang di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di sini hari ini.

Katanya, hasratnya adalah menekankan politik yang matang tanpa ada benci membenci sesama calon yang bertanding di DUN itu.

"Dari segi peluang saya di sini, saya kenal pengundi dan hubungan saya dengan pengundi Tambun Tulang bukan sekadar bersemuka dengan pengundi tetapi memang akrab.

"Malah, hubungan dengan calon juga, kami dah macam 'adik beradik', kami kawan dan sangat mengenali," katanya.

Ismail yang dikenali sebagai 'Chu Kassim' dalam kalangan masyarakat di Tambun Tulang adalah adik kepada penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akan bersaing secara terbuka dengan lawannya yang lain.

"Saya tidak akan tutup dan sekiranya mereka ingin masuk ke kampung berjumpa penduduk di Tambun Tulang juga saya terima.

"Insya Allah, saya yakin dapat menang lagi kali ini di Tambun Tulang," katanya.

Ismail menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang sejak 2013.

Pada PRU-15 kali ini, Ismail akan menghadapi saingan empat penjuru dengan berdepan Maton Din dari Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Syahmi Suhaimi (Pakatan Harapan) dan Wan Zikri Afthar Ishak dari Perikatan Nasional (PN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 5:50 PM