Aizat Sharif


Image

Arau: Kehadiran penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) ternyata menarik perhatian ramai pihak di Pusat Penamaan Calon Parlimen Arau di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di sini hari ini.

Kehadiran tokoh politik berpengaruh yang disegani bersama lima lagi calon PN yang akan bertanding di Dun Pauh, Guar Sanji, Tambun Tulang, Simpang Empat dan Sanglang sekitar jam 8.30 pagi diiringi kira-kira 100 penyokong PN dari seluruh parlimen itu.

Kira-kira lima minit sebelum itu, calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie turut tiba di perkarangan dewan penamaan calon berkenaan bersama lima calon PH yang lain disertai hampir 100 penyokong PH sambil melaungkan sorakan 'Reformasi' dan 'Lawan Tetap Lawan'.

Sekitar 8.45 pula, rombongan calon Barisan Nasional (BN) termasuk calon Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman serta lima lagi calon DUN berarak untuk memasuki dewan penamaan calon diikuti calon dari Warisan dan Gerakan Tanah Air.

Proses penamaan calon berlangsung selama sejam bermula jam 9 pagi diikuti tempoh proses bantahan selepas itu selama sejam sebelum penamaan calon dimuktamadkan pada 11 pagi nanti.

SHAHIDAN tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. FOTO Luqman Hakim Zubir
SHAHIDAN tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau. FOTO Luqman Hakim Zubir

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 10:03 AM