Zatul Iffah Zolkiply


Image

Kuala Nerus: Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Moihd Khairuddin Aman Razali, tidak berkecil hati apabila disambut dengan sorakan 'boo' ketika namanya diumumkan selepas keluar daripada pusat penamaan calon hari ini.

Mohd Khairuddin yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus menyifatkan ia perkara biasa dalam politik.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu selama dua penggal juga memaklumkan pemimpin perlu berjiwa besar dan tidak mengambil hati dengan usikan sedemikian.

"Biasa saja dalam politik macam itu lah…yang penting kita kekal bersaudara walaupun kita berbeza (parti politik).

"Yang nakal-nakal ini ada di mana-mana, jangan kita ambil hati sangat, (ia) benda kecil. Saya tak terasa pun, budak-budak kecil biasa la kerana kita memimpin kita kena berjiwa besar, jangan jadi macam budak kecil," katanya.

Beliau yang pertama kali bertanding atas tiket BN akan menggunakan cara kempen yang sama dan bergerak seperti seorang Muslim.

"Kita berdoa, kita buat kerja, ajak orang bersama kita tetapi macam saya kata (tadi), walaupun kita berbeza tetapi ia kekal bersaudara, Insya-Allah," katanya.

Terdahulu, Mohd Khairuddin bersama penyokongnya tiba di pusat penamaan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di sini, jam 9 pagi.

KHAIRUDDIN Aman Razali (kanan) tiba di Pusat penamaan Calon di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, Kuala Nerus. FOTO Ghazali Kori
KHAIRUDDIN Aman Razali (kanan) tiba di Pusat penamaan Calon di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, Kuala Nerus. FOTO Ghazali Kori

Mohd Khairuddin yang memakai baju Melayu berwarna biru turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus Dr Apli Yusoff.

Ahmad Razif dan Dr Apli masing-masing hadir sebagai pencadang dan penyokong kepada bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu.

Parlimen Kuala Nerus menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohd Khairuddin (BN), Datuk Dr Alias Razak (PAS), Azaha Wahid daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), dan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Suhaimi Hashim.

Mohd Khairuddin yang sebelum ini bertanding atas tiket PAS menjadi ahli Parlimen Kuala Nerus selepas memenangi kerusi itu pada PRU-13.

Beliau mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU-14 dengan majoriti 8,447 undi selepas menewaskan calon Umno dan PKR.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin membuat permohonan untuk berhenti daripada menjadi ahli PAS berkuat kuasa serta-merta pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:04 PM