APLI Yusof. FOTO Arkib NSTP.
APLI Yusof. FOTO Arkib NSTP.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dr Apli Yusoff menafikan ada jentera Barisan Nasional (BN) 'peteh keting' dan sabotaj parti menjelang Pilihan Raya umum ke -15 (PRU-15) Sabtu ini.

Sebaliknya katanya, ahli parti dan jentera terus menyatakan kesetiaan menyokong BN bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Nerus kembali ke pangkuan selepas dua kali terlepas ke tangan Pas.

Katanya, situasi itu kembali timbul dan sengaja direka pihak tertentu sebagai strategi untuk memenangi PRU-15 selepas sokongan kepada BN Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semakin bertambah.

"Sepanjang berkempen bersama calon dan jentera selepas penamaan calon pada 5 November lalu, semuanya berjalan dengan baik tanpa sebarang usaha untuk sabotaj parti, malah sokongan akar umbi semakin utuh.

"Ada beberapa masalah kita berjaya selesaikan dengan baik dan secara berhikmah, kita buat pertemuan dengan cawangan selain peringkat akar umbi untuk mendengar permasalahan mereka.

"Malah sepanjang berkempen tiada kedengaran dan khabar angin berhubung perkara itu (sabotaj parti), mungkin ianya adu domba pihak tertentu untuk memenangi hati pengundi," katanya ketika ditemui di Kuala Nerus, hari ini.

Sebelum ini ada khabar angin mengatakan segelintir ahli parti itu tidak mahu menyokong BN kerana pucuk pimpinan menamakan Mohd Khairuddin sebagai calon sekali gus menimbulkan konflik antara ahli.

Mengulas mengenai tawaran BN yang bakal memberikan pendidikan percuma kepada anak golongan B40 yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini, beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, ia termaktub dalam manifesto BN itu bukannya dibuat secara rambang.

Manifesto itu berdasarkan kemampuan bagi membasmi kemiskinan secara strategik dan adil jika BN diberi mandat oleh pengundi untuk memimpin negara.

"Kita sudah semak, manifesto pendidikan percuma itu bukannya omong kosong, sebaliknya ianya janji BN untuk diberikan kepada penuntut B40," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 5:34 PM