Zaid Salim


Marang: Pas akan merampas semula kerusi Parlimen Kuala Nerus (P035) daripada tangan penyandang, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyertai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calon Pas bagi kerusi Parlimen berkenaan, Datuk Dr Alias Razak berkata, kerusi itu perlu dirampas semula setelah 'dilarikan' Mohd Khairuddin yang memenanginya selama dua penggal ketika bertanding atas tiket Pas pada PRU-13 dan PRU-14.

Beliau tidak kesah siapa yang akan ditentang dan akan bekerja keras dengan kemampuan yang ada untuk merampas semula kerusi berkenaan.

"Bagi Pas, kita tak kira siapa saja dan daripada mana tetap akan lawan dan memastikan jentera kita turun mengikut kemampuan yang ada.

"Dengan kemampuan kita, kita akan pertahanan dan ambil balik kerusi Kuala Nerus," katanya ditemui selepas Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, malam tadi.

Tambahnya lagi, beliau tidak gentar untuk berdepan dengan Mohd Khairuddin dan yakin dengan jentera dan penyokong yang selama ini bersama Pas.

Katanya, kemenangan Mohd Khairuddin selama dua penggal adalah kerana sokongan padu penyokong dan ahli parti dan akan membuktikannya pada pilihan raya kali ini.

Ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, Alias berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 8:14 AM