MOHD Salim. FOTO arkib NSTP
MOHD Salim. FOTO arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tidak benar semua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Jempol ditutup seperti yang didakwa sebaliknya mungkin hanya beberapa saja susulan penyandang, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif tidak dicalonkan semula.

Mohd Salim dikatakan akan diganti oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Ketua Umno Cawangan Kampung Serting Ilir, Khairul Annuar Mansor berkata, bilik gerakan belum dibuka sepenuhnya dan beroperasi sebaik calon diumumkan.

Katanya, sebagai ahli parti, Umno cawangan menyokong siapa saja calon yang diputuskan dan menjalankan kerja seperti diamanahkan.

"Tidak benar bilik gerakan ditutup disebabkan calon tidak terpilih kerana bagi kami di ahli peringkat cawangan, parti menjadi keutamaan dan kami akan memastikan calon yang bertanding menang," katanya.

Ketua Cawangan Umno Felda Serting Hilir Enam, Hassan Yusop berkata, bilik gerakan cawangan berkenaan tetap dibuka seperti biasa biarpun ada dakwaan ditutup.

"Dakwaan hampir semua bilik gerakan di Parlimen ini ditutup adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Bagi Timbalan Ketua Cawangan Felda Raja Alias Dua, Md Rohani Ripin, bilik gerakan Raja Alias Dua tetap dibuka biarpun berlaku pertukaran calon Parlimen Jempol.

"Kita menyokong calon yang diputuskan oleh parti dan bekerja keras bagi memenangkan calon menjadi Ahli Parlimen Jempol," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, 13 bilik gerakan BN di Parlimen Jempol ditutup gara-gara penyokong tidak berpuas hati apabila penyandangnya, Mohd Salim yang juga Ketua Umno Bahagian Jempol tidak terpilih.

Dalam sidang media di Pejabat Umno Jempol pada Selasa lalu, Setiausaha Umno bahagian, Muhammad Zamri Omar mendakwa hampir 40 bilik gerakan BN Parlimen Jempol akan ditutup sekiranya Mohd Salim tidak dipilih menjadi calon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 12:46 PM