DATUK Mohd Salim Sharif melekatkan Jalur Gemilang pada cermin sebuah teksi sempena program Info On Wheels Jabatan Penerangan di Bahau. FOTO Abnor Hamizam
DATUK Mohd Salim Sharif melekatkan Jalur Gemilang pada cermin sebuah teksi sempena program Info On Wheels Jabatan Penerangan di Bahau. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


"SEBAGAI rakyat Malaysia yang mempunyai perasaan cintakan negara, tidak rugi jika membeli Jalur Gemilang yang harganya tidak sampai RM10," kata Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad.

Menurutnya, pemilik premis perniagaan dan kediaman perlu mengambil inisiatif sendiri memasang Jalur Gemilang tanpa mengharapkan bendera percuma daripada Jabatan Penerangan.

"Persepsi orang ramai bahawa jabatan ini memberi Jalur Gemilang secara percuma adalah tidak benar sama sekali.

"Bendera yang diagihkan kepada orang ramai adalah sebahagian program mengimarahkan bulan kebangsaan yang dianjurkan oleh pihak jabatan.

"Bagi Negeri Sembilan, kita memperuntukkan sebanyak 10,000 Jalur Gemilang yang kemudian diagihkan kepada lapan parlimen menerusi program anjuran Jabatan Penerangan," katanya.

Beliau ditemui ketika Program Info On Wheels Merdeka bersama pemandu teksi di Bahau.

Program dirasmikan Pengerusi RISDA yang juga Ahli Parlimen Jempol Datuk Mohd Salim Sharif.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Dalam perkembangan lain, Shahnon berkata daripada pemerhatian pihaknya sebanyak 60 peratus daripada 400,000 premis perniagaan di Negeri Sembilan sudah memasang Jalur Gemilang.

"Kita berharap jumlah itu akan meningkat dan berharap pemasangan Jalur Gemilang ini bukan satu paksaan kepada mereka yang berkenaan," katanya.

Sementara Mohd Salim berkata inisiatif memasang Jalur Gemilang di premis perniagaan dan kediaman perlu dibuat tanpa paksaan.

"Tidak perlu kerajaan buat peraturan atau undang-undang berkaitan bagi menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang sebaliknya kita sendiri perlu ada sikap bagaimana menunjukkan kecintaan kepada negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 3:41 PM